JASIN – Seorang lelaki dan wanita warga emas maut manakala dua beradik cedera dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Jalan Serkam-Bemban, di sini, petang semalam, kira-kira 40 minit sebelum waktu berbuka puasa.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan pada jam 6.50 petang melibatkan sebuah Perodua Bezza dan Proton Wira.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Bezza yang dipandu lelaki berusia 33 tahun dari arah Bemban menghala ke Serkam dipercayai memasuki laluan bertentangan.
“Kenderaan itu kemudian bertembung dengan Wira dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah bertentangan menyebabkan pemandu Bezza parah maut dan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, penumpang Wira, wanita warga emas berusia 74 tahun yang merupakan ibu pemandu kereta itu dibawa ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan di Zon Merah.

“Bagaimanapun pada jam 9.30 malam, pihak hospital memaklumkan wanita berusia 74 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Anaknya yang memandu dan seorang lagi anak lelakinya berusia 40 tahun yang duduk di bahagian penumpang masing-masing turut cedera,” katanya.
Lee berkata, bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa dijalankan di Unit Forensik Hospital Jasin dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















