MELAKA – Sudah tiba masanya Melaka beralih daripada politik gimik dan kebergantungan melampau terhadap pelancongan kepada model pembangunan yang benar-benar mengutamakan rakyat tempatan.
Ketua Pemuda DAP (DAPSY) Melaka, Cassel Krishnan berkata, menjelang jangkaan Pilihan Raya Negeri Melaka sebelum hujung tahun ini, kerajaan negeri yang bakal dibentuk perlu meletakkan kepentingan pembayar cukai sebagai keutamaan, bukan sekadar mengejar angka pelancong jangka pendek.
Tegasnya, sentimen tersebut semakin kuat dirasai rakyat yang mahukan kualiti hidup lebih baik, peluang pekerjaan stabil dan masa depan yang terjamin untuk generasi muda.
“Sudah tiba masanya kita mempunyai kerajaan negeri yang mengutamakan pembayar cukainya sendiri, bukannya pelancong kerana akyat mahukan penyelesaian jangka panjang, bukan acara hujung minggu atau projek kosmetik.
“Tumpuan berlebihan kepada sektor pelancongan sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan isu asas seperti mobiliti bandar, keselesaan penduduk dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi tidak diberi perhatian sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, antara yang dibangkitkan termasuk pelantikan selebriti asing sebagai duta pelancongan, penganjuran acara bermotor berskala besar yang menjejaskan aliran trafik serta penutupan laluan utama bandar sehingga 54 jam pada hujung minggu.
Beliau turut menyentuh perbelanjaan jutaan ringgit bagi pemasangan lampu LED di jejantas pejalan kaki yang didakwa jarang digunakan dan mengalami kebocoran dalam tempoh singkat selepas dibuka semula.
“Semua ini atas nama pelancongan, tetapi sampai bila kita mahu bergantung kepada gimik dan acara mega yang tidak mampan? Pada kos apa terhadap keselesaan dan ketenangan hidup rakyat?” soalnya.
Cassel berkata, Melaka mempunyai tiga universiti utama yang melahirkan ribuan graduan setiap tahun dalam bidang kejuruteraan, teknologi maklumat, kecerdasan buatan (AI), perubatan, kewangan dan undang-undang.
“Namun ramai anak muda berbakat terpaksa berhijrah ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang malah Singapura kerana kekurangan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di negeri sendiri.
“Adakah kita mahu ekonomi negeri dibina atas kehadiran pelawat sementara atau atasasas inovasi, teknologi dan industri bernilai tinggi yang bersedia menghadapi ledakan AI?
“Sudah tiba masanya kita bina ekonomi berasaskan inovasi dan industri bernilai tinggi dan pelancongan sepatutnya melengkapi ekonomi, bukan menjadi satu-satunya tonggak,” katanya.
Tegasnya lagi, Melaka berhak mendapat kerajaan negeri yang membina masa depan untuk rakyatnya sendiri, bukan sekadar menjadi destinasi untuk pelawat sementara berdasarkan angka pelancong hujung minggu. – MalaysiaGazette

















alaaa kerajaan DAP Penang pun sama jaa 2×5 fokus kpd pelancong & expatriates terutama dari China.. puluh ribu sampai sesak di airport.. lepas tu bina perumahan & kondo2 mewah utk expatriates harga berjuta2 mcm di kaw Gurney.. rakyat tempatan sendiri merempat tak mampu.. fasiliti mcm Hospital Besar Penang mcm hospital zaman Jepun..sesak teruk..jadi sebelum sibuk psl Melaka.. tegur dulu kerajaan DAP Penang tu