Tiga jurulatih Palapes UTM, Mohd Azmi Abu Bakar, 40, Muhamad Baharuddin, 30, dan Mohd Norbuangani Moslan, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian Syamsul Haris Shamsudin, pada 28 Julai tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan proses keadilan berjalan dengan sewajarnya.

UTM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menghormati sepenuhnya proses perundangan negara serta berpegang kepada prinsip ketelusan, akauntabiliti dan kedaulatan undang-undang.

Kenyataan UTM itu dibuat terhadap perkembangan kes kematian seorang pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) UTM, Syamsul Haris Shamsudin berikutan tiga jurulatih Palapes dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini atas tuduhan melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian mangsa.

Menurut UTM, pihaknya akan terus bersama-sama keluarga Allahyarham Syamsul Haris serta warga universiti yang terkesan sepanjang tempoh yang sukar itu.

“Kami mengambil maklum pertuduhan yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara di mahkamah hari ini, terhadap tiga jurulatih Palapes di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Kami memohon semua pihak memberi ruang kepada proses perundangan untuk berjalan dengan adil,” katanya.

Terdahulu, tiga jurulatih Palapes mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, atas tuduhan melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Syamsul Haris, tahun lalu.

Tiga tertuduh yang didakwa ialah Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40; Kapten Muhammad Bahauddin Ab Rasid, 30; dan Pegawai Waran Mohd Norbuangani Mislan, 41.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Syamsul Haris yang berusia 22 tahun ketika kejadian dengan niat hendak menyebabkan bencana tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Dengan itu, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara di sini, antara 2 petang hingga 3 petang, 28 Julai 2025, semua tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast