Majlis pelancaran disempurnakan oleh Naib Canselor UIS, Datuk Prof. Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah.

KAJANG – Universiti Islam Selangor (UIS) hari ini melancarkan Nadi Usahawan Rintis Universiti Islam Selangor (NUR-UIS) sebagai inisiatif strategik untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan Islam yang holistik, inklusif dan mampan.

Ia selaras dengan aspirasi universiti itu untuk muncul sebagai Universiti Usahawan Islam pertama di Malaysia.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Naib Canselor UIS, Datuk Prof. Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah.

Penubuhan NUR-UIS menzahirkan komitmen UIS untuk memainkan peranan lebih besar bukan sahaja sebagai institusi pendidikan tinggi tetapi juga sebagai pemacu pembangunan ekonomi, sosial dan nilai kemanusiaan melalui pendekatan keusahawanan berteraskan nilai insaniah, integriti dan keberkatan.

Inisiatif yang sama turut menyokong agenda pembangunan negeri melalui ILTIZAM Selangor serta memperkukuh aspirasi Bandar Ilmu, dengan memberi fokus kepada pembangunan modal insan berdaya saing, penciptaan peluang ekonomi dan pengukuhan kesejahteraan masyarakat.

Menurut Mohd Farid Ravi, NUR-UIS bukan sekadar platform pembangunan keusahawanan sebaliknya merupakan sebuah ekosistem menyeluruh yang dibangunkan untuk menyokong pembangunan usahawan secara berstruktur daripada peringkat awal dan mikro sehingga ke perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“NUR-UIS bukan sekadar program latihan atau kursus jangka pendek. NUR-UIS ialah ekosistem pemerkasaan yang membina laluan kejayaan usahawan secara menyeluruh daripada pembangunan bakat dan kompetensi kepada pembiayaan, bimbingan, akses pasaran dan pengembangan perniagaan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, melalui pendekatan ekosistem itu, UIS bukan sahaja membantu peserta memperoleh Kemahiran malah memastikan mereka mempunyai laluan yang lebih jelas untuk berkembang secara mampan dan berdaya saing dalam realiti ekonomi semasa.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menegaskan bahawa UIS telah dilantik sebagai Hub Usahawan i-TEKAD Bank Islam, satu pengiktirafan signifikan terhadap keupayaan universiti sebagai pusat pemerkasaan usahawan komuniti.

Menurut beliau, peranan UIS sebagai Hub Usahawan i-TEKAD melangkaui penganjuran latihan semata-mata, sebaliknya merangkumi fungsi strategik seperti pengenalpastian peserta berpotensi, pembangunan kapasiti, literasi keusahawanan, bimbingan, pemadanan sokongan serta pengukuhan akses kewangan patuh Syariah.

“Pelantikan ini mengukuhkan kedudukan UIS sebagai jambatan strategik yang menghubungkan potensi peserta dengan peluang sebenar dalam ekosistem keusahawanan termasuk pendidikan, bimbingan, pembiayaan dan jaringan pasaran,” katanya.

NUR-UIS turut diperkukuh melalui rangkaian kerjasama strategik merangkumi sektor perbankan, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), agensi pembangunan dan institusi sokongan komuniti.

Antara rakan strategik utama ialah Bank Islam Malaysia Berhad,
Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), TERAS Asnaf,
Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) dan Yayasan Selangor.

UIS memaklumkan penyertaan Yayasan Selangor dalam ekosistem NUR-UIS akan memperkukuh agenda pembangunan belia, mobiliti sosial dan pemerkasaan bakat secara lebih inklusif khususnya dalam membuka laluan peluang kepada kumpulan sasaran yang memerlukan sokongan berstruktur bagi meningkatkan potensi diri dan ekonomi keluarga.

Mohd Farid Ravi berkata, NUR-UIS berfungsi melengkapkan keperluan pasaran dan kehendak industri semasa dengan memastikan pembangunan bakat dan usahawan sentiasa selari dengan realiti ekonomi serta permintaan sektor perniagaan.

Melalui inisiatif ini, UIS komited untuk melahirkan usahawan berteraskan nilai insaniah, meningkatkan kebolehpasaran graduan, menghubungkan komuniti dengan peluang pembiayaan, latihan dan bimbingan serta memperkasakan ekonomi masyarakat khususnya golongan belia, B40, asnaf dan warga emas (silver-preneur).

“UIS percaya pendidikan bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga alat untuk mengangkat martabat hidup. NUR-UIS dibangunkan untuk memastikan peluang pembangunan keusahawanan dapat diakses secara lebih tersusun, inklusif dan berimpak oleh pelajar serta komuniti,” katanya.

Dalam hala tuju masa hadapan, UIS turut akan meneroka potensi pembangunan Islamic Tourism Hub dengan keusahawanan dikenal pasti sebagai platform penggerak utama kepada rantaian nilai pelancongan Islam.

Ia termasuk pembangunan usahawan dalam bidang hospitaliti, produk halal, makanan berasaskan komuniti, pengalaman pelancongan berasaskan warisan dan pendidikan, perkhidmatan sokongan acara, mobiliti pelancong serta penyelesaian digital dan pemasaran destinasi.

Pendekatan itu dilihat berpotensi menghubungkan agenda keusahawanan, pendidikan, pembangunan komuniti dan pelancongan Islam dalam satu model pertumbuhan baharu yang lebih tersusun, inklusif dan berdaya saing untuk Selangor dan Malaysia.

UIS mengalu-alukan penyertaan pelajar, komuniti, industri, agensi kerajaan, institusi kewangan, NGO dan rakan strategik untuk bersama-sama menjadi sebahagian daripada ekosistem NUR-UIS.

Pelancaran NUR-UIS menandakan satu langkah progresif UIS dalam memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi sebagai pemacu perubahan yang menghubungkan pembangunan ilmu, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat melalui keusahawanan Islam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast