Iranian flag

TEHRAN – Kementerian Luar Iran mengecam serangan udara Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas wilayah Iran, di samping mengisytiharkan tahap kesiapsiagaan pertahanan serta menegaskan hak untuk bertindak balas.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu itu, kementerian berkenaan menyatakan AS dan rejim Israel telah melanggar Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan melancarkan tindakan pencerobohan secara terbuka, khususnya ketika bulan suci Ramadan dan menjelang sambutan perayaan Nowruz di Iran.

Kenyataan itu memaklumkan serangan berkenaan menyasarkan infrastruktur ketenteraan serta lokasi awam di seluruh negara.

Menurut kenyataan tersebut, tindakan pencerobohan ketenteraan berulang terhadap Iran berlaku ketika Iran dan AS sedang terlibat dalam usaha diplomatik.

Walaupun menyedari niat AS dan rejim Israel untuk melancarkan satu lagi serangan ketenteraan, Iran tetap meneruskan rundingan bagi membuktikan legitimasi rakyat Iran serta menzahirkan ketidakabsahan sebarang alasan untuk melakukan pencerobohan.

Kementerian Luar Iran menegaskan, tindak balas Iran merupakan hak yang sah di bawah Perkara 51 Piagam PBB dan berikrar angkatan bersenjata Republik Islam Iran akan menggunakan segala keupayaan untuk menangkis pencerobohan jenayah tersebut.

Iran turut menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya Majlis Keselamatan, supaya mengambil tindakan segera bagi menangani pelanggaran terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Kenyataan itu juga menyeru semua negara anggota PBB, khususnya negara serantau dan negara Islam, anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali serta negara yang komited terhadap keamanan antarabangsa, agar mengecam serangan tersebut dan mengambil tindakan bersama.

“Ketika ujian besar sejarah kini tiba, angkatan bersenjata Republik Islam Iran yang diinspirasikan oleh legasi kepahlawanan bumi ini akan mempertahankan tanah air dengan keimanan yang tidak berbelah bahagi,” menurut kenyataan itu, sambil menegaskan tindak balas Iran akan bersifat tegas dan mampu menghalang pencerobohan pada masa hadapan. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast