KUALA LUMPUR – Rakyat mahu kerajaan bertindak tegas termasuk mengambil tindakan saman atau undang-undang terhadap Bloomberg susulan dakwaan yang diterbitkan, bukan sekadar membiarkan tindakan saman peribadi oleh Tan Sri Azam Baki semata-mata.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan di peringkat kerajaan lebih wajar bagi mempertahankan maruah dan kedaulatan negara sekiranya laporan berkenaan benar-benar menjejaskan reputasi Malaysia.
“Tidak memadai sekadar tindakan individu diambil, sebaliknya, kerajaan perlu menunjukkan ketegasan melalui saluran perundangan yang jelas dan terbuka,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.
Semalam, media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengunjungi pejabat Bloomberg di Menara Berkembar Petronas berkaitan dengan laporan penyiasatan mengenai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Siasatan tersebut dikatakan berkaitan dengan Azam.
Sumber memaklumkan, pegawai polis bertanya mengenai Tom Redmond dan Niki Koswanage kerana menulis dua artikel yang diterbitkan bulan ini.
Laporan berkenaan memperincikan dakwaan salah guna kuasa dan pemerasan dalam SPRM serta dakwaan kaitan Azam dengan individu yang digambarkan sebagai sebahagian daripada “mafia korporat”.
Dalam pada itu Ahmad Fadhli turut mempersoalkan tindakan dan tekanan yang didakwa dikenakan terhadap seorang wanita warga emas yang baharu kehilangan suami.
Katanya, keadaan tersebut kelihatan kurang munasabah apabila seorang balu dilihat seolah-olah mampu menggugat kedaulatan negara sehingga mencetuskan pelbagai kenyataan media daripada agensi-agensi penting negara.
Beliau menegaskan, fokus utama seharusnya diberikan kepada isu pokok dan pihak yang menerbitkan laporan tersebut, bukannya memberi tekanan kepada individu yang tidak mempunyai kedudukan atau kuasa besar dalam negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan supaya mengambil pendirian lebih jelas dan tegas demi menjaga imej serta kepentingan Malaysia di mata dunia. – MalaysiaGazette
















