KUALA LUMPUR – Pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) membuka lembaran baharu buat gabungan itu.
Fokusnya bagi memperkukuh organisasi dan menyusun strategi menghadapi pilihan raya akan datang.
Menteri Besar Terengganu itu menegaskan, keutamaan ketika ini adalah memperkukuhkan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu serta memantapkan muafakat di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Tambah beliau, kesiapsiagaan jentera dan kesatuan dalaman menjadi teras utama dalam memastikan PN bersedia menghadapi sebarang kemungkinan politik.
Mengulas tanggapan sesetengah pihak yang melihat beliau sebagai wajah teknokrat yang mampu ‘melembutkan’ progres gelombang hijau, Ahmad Samsuri berkata, perjuangan PN bukan berkenaan label atau gelombang tertentu.
“Pada saya, ia bukan soal gelombang. Apa yang kita nak bawa ialah satu perubahan yang lebih baik kepada masyarakat. Nama-nama itu diberikan oleh pihak luar bukan kita yang menamakannya.
“Perkara paling penting ialah mesej yang dibawa jelas serta berteraskan agenda pembaharuan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir pada Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu 2026 di Dewan A MAEPS, Serdang Selangor hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Naib Presiden Pas itu dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang baharu susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.
Pelantikan beliau dilihat sebagai langkah strategik PN dalam memperkukuh kepimpinan pusat dengan pendekatan lebih tersusun dan berorientasikan pentadbiran, selari dengan cabaran politik semasa negara. – MalaysiaGazette
















