Program “Sehari Berbakti, Sejiwa Bererti” menyantuni 25 anak yatim di Hulu Langat,

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bersama Suria FM menganjurkan program “Sehari Berbakti, Sejiwa Bererti” bersempena Ramadan di Surau Al Munir, Taman Sri Nanding, Hulu Langat, Selangor, semalam.

Program berkonsepkan khidmat komuniti itu menghimpunkan staf NAFAS bersama ahli peladang, penduduk setempat serta wakil Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Hulu Langat dalam suasana kebersamaan dan pengukuhan silaturahim.

Aktiviti dimulakan dengan gotong-royong membersihkan surau, jualan produk Peladang, program Temu Peladang serta rewang penyediaan bubur lambuk Bersama komuniti setempat bagi menyemarakkan lagi ukhuwah sempena Ramadan.

Bubur lambuk diagihkan kepada penduduk setempat.

NAFAS berkata, pendekatan turun padang bersempena Ramadan itu memberi ruang interaksi secara langsung antara organisasi peladang dan masyarakat, selain memperkukuh hubungan bersama ahli peladang di peringkat kawasan.

Menurutnya, inisiatif tersebut turut menjadi platform untuk memahami keperluan komuniti serta memperkukuh peranan NAFAS dalam menyokong pembangunan sektor pertanian di peringkat akar umbi.

 

Program itu turut menampilkan sesi Temu Peladang NAFAS bersama PPK Hulu Langat sebagai ruang dialog dua hala bagi membincangkan isu serta perkembangan semasa sektor pertanian setempat.

Hadir sama memeriahkan majlis, Mohd Sany Hamzan, Ahli Parlimen Hulu Langat; Datuk Johan Abd Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri Dusun Tua; Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin dan Mohd Yusof Harun, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Hulu Langat.

Dalam program itu, bubur lambuk yang disediakan secara bergotong-royong kemudiannya diagihkan kepada penduduk sekitar dengan penyertaan barisan penyampai radio Suria FM di perkarangan surau serta bazar yang berdekatan sekali gus menyemarakkan lagi penghayatan Ramadan.

Sesi Temu Peladang NAFAS bersama PPK Hulu Langat.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan, sumbangan duit raya turut disampaikan kepada 25 anak yatim yang diraikan serta 225 kanak-kanak yang hadir memeriahkan program tersebut.

Turut disumbangkan peruntukan RM8,000 kepada pihak surau bagi menyokong pelaksanaan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan di kawasan berkenaan.

NAFAS berkata, program seumpama itu akan terus diperkasa sebagai inisiatif pembangunan komuniti, pengukuhan jaringan bersama ahli peladang serta mempertingkat peranannya dalam memacu sektor pertanian negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast