KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Malaysia, Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan menegaskan siasatan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen kerajaan dalam menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.
Beliau yang juga Naib Ketua Bersekutu berkata, peruntukan yang membawa hukuman sehingga 20 tahun penjara itu tidak seharusnya digunakan sewenang-wenangnya terhadap pengkritik politik, sebaliknya terhad kepada ancaman sebenar yang melibatkan unsur keganasan atau tindakan tidak berperlembagaan.
“Seksyen 124B diwujudkan untuk melindungi demokrasi berparlimen daripada ancaman nyata, bukan untuk membungkam suara rakyat yang menyuarakan pandangan atau kritikan terhadap dasar kerajaan,” katanya hari ini.
Menurutnya, tafsiran terlalu luas terhadap peruntukan berkenaan boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.
Sanjeevan turut mengingatkan ketika Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) digunakan terhadap pembangkang suatu ketika dahulu, Pakatan Harapan (PH) mengecamnya sebagai undang-undang bersifat zalim dan berjanji untuk melakukan reformasi.
“Prinsip yang diperjuangkan ketika itu jelas iaitu undang-undang tidak boleh dijadikan alat untuk menutup mulut rakyat.
“Jika hari ini pendekatan yang sama digunakan, rakyat berhak mempersoalkan konsistensi pendirian tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, Seksyen 124B yang dibaca bersama Seksyen 130A secara jelas mensyaratkan elemen tindakan ganas atau tidak berperlembagaan sebagai asas kesalahan.
“Kritikan terhadap dasar kerajaan tidak boleh disamakan dengan cubaan menjatuhkan demokrasi. Tafsiran yang melampau hanya akan mencetuskan persepsi bahawa undang-undang digunakan untuk melindungi kerajaan yang memerintah, bukan institusi negara,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia dan pihak pendakwaan supaya berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan bukannya menggunakan undang-undang sebagai alat pemerintahan.
“Kedaulatan undang-undang bermaksud semua pihak, termasuk kerajaan, tertakluk kepada undang-undang yang sama. Seksyen 124B tidak boleh dijadikan perisai politik. Ia mesti digunakan secara berhati-hati dan berlandaskan semangat Perlembagaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















