MELAKA – Tragedi kemalangan maut membabitkan tiga pelajar sekolah di Jalan Tambak Paya, Ayer Molek awal pagi semalam membuka ruang muhasabah apabila rakan-rakan mangsa yang masih bersekolah dikumpulkan di Kampung Tanjung Mak Midah.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman, berkata beliau sengaja memberi peringatan tegas itu sementara menunggu jenazah selesai proses bedah siasat mengenai bahaya lumba haram di jalan raya.
“Saya terpanggil untuk kumpulkan sahabat arwah yang semuanya masih bersekolah untuk memberi kesedaran mengenai bahaya lumba haram.
“Jangan tunjuk hero, jangan rasa kitalah paling pandai, kitalah paling laju, terpaling segala. Bila sudah meninggal dunia, semua itu tak guna,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.02 pagi semalam, dua pelajar lelaki berusia 15 dan 16 tahun serta seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun maut di lokasi akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal.
Seorang lagi mangsa berusia 18 tahun cedera parah di kepala, kaki dan tangan serta kini menerima rawatan di zon merah hospital.
Mengulas lanjut, Rahmad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, tidak menafikan minat terhadap motosikal dalam kalangan remaja, namun menegaskan ia perlu disertai disiplin dan tanggungjawab.
“Motor ini memang kita suka, tapi laju kena pada tempatnya dan pakai peralatan keselamatan lengkap, jangan ganggu pengguna jalan raya lain.
“Saya sendiri bawa motosikal berkuasa tinggi yang mana pecutan gear satu boleh cecah 170 kilometer sejam (km/j) dan top speed 340 km/j.
“Motor kita mungkin boleh pergi 150 km/j tapi janganlah habiskan sampai kelajuan itu kerana bukan senang hendak berhenti dengan selamat walaupun brek,” katanya.

Beliau turut menyentuh isu lumba haram yang menurutnya sukar dibanteras tanpa kesedaran dalaman remaja sendiri.
“Kalau nak berlumba, ada tempatnya tapi bukan di jalan awam. Masalah lumba haram ini susah hendak dibanteras kecuali ada kesedaran diri, tetapi biasanya kesedaran itu sekejap sahaja,” ujarnya.
Menurutnya, tragedi yang meragut nyawa tiga pelajar itu wajar menjadi titik perubahan kepada remaja agar tidak mempertaruhkan masa depan dan harapan keluarga demi gelaran ‘hero’ jalanan.
“Untuk apa jadi hero kalau akhirnya mati di jalan raya. Kita ada mak ayah, ada keluarga, ada cita-cita. Jangan sia-siakan semua itu,” katanya. – MalaysiaGazette
















