Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kebenaran akan terungkai secara menyeluruh dan telus melalui siasatan yang sedang dijalankan mengenai isu provokasi agama.

Hantaran di Facebook itu dipercaya berhubung kenyataan awalnya yang menjawab tuduhan bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan berhubung insiden memijak al-Quran, baru-baru ini.

“Serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan sewajarnya.

“Kerajaan Madani akan memastikan keadilan ditegakkan dan keamanan negara terus dipelihara,” katanya.

Semalam, Anwar menegaskan tindakan berhubung suatu isu perlu dilakukan berdasarkan proses perundangan, bukan tekanan emosi atau persepsi menerusi media sosial.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar menyerahkan sepenuhnya perkara berkenaan kepada pihak berkuasa serta tidak membuat spekulasi atau kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian awam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) direman bagi membantu siasatan berhubung kes menghina agama Islam dengan memijak al-Quran.

Reman lelaki berusia 21 tahun disambung hingga 3 Mac ini selepas menerima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Ia supaya beberapa tindakan lagi diambil untuk melengkapkan siasatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast