KUALA LUMPUR – Walaupun terlewat namun Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menunaikan janjinya hari ini menyambut Tahun Baru Cina bersama warga emas, Ah Ma Cha Moi di Pulau Pinang.
Sebelum itu, beliau pada Disember tahun lalu berjanji untuk membina rumah baru kepada Ah Ma.
Dalam masa dua bulan rumah baru itu sudah disiapkan.
“Kalau masih ingat, bulan Disember lalu saya ada ziarah Ah Ma Cha Moi di rumahnya. Umur Ah Ma 89, uzur, kaki sudah tak kuat, jalan kena bertongkat.
“Rumah kayunya dah hampir 70 tahun; masa muda dulu, mendiang suami bina rumah ini ketika mereka nak kahwin. Ini rumah kasih sayang.
“Semua ini kini tinggal kenangan. Suaminya sudah tiada, rumahnya pun dah reput menunggu rebah.
“Saya sebenarnya ada berjanji jugak nak meraikan tahun baru bersama Ah Ma. Tapi Ah Ma terpaksa masuk hospital semasa CNY dan bila Ah Ma keluar, saya pulak yang masuk hospital.

“Saya bagitau diri sendiri, lepas keluar hospital, perkara pertama saya mesti tunaikan janji itu!” katanya dalam kenyataan.
Hari ini, Steven melawat Ah Ma di rumah baru, makan stimbot bersama-sama Ah Ma dan cucu-cucunya.
“Ruang tamu selesa, siap perabut baru, bumbung tak bocor lagi, Ah Ma ada bilik tidur yang selesa dan bilik air yang selamat siap pasang kemudahan untuk warga emas.
“Steven tak mampu nak buat yang lebih tapi Steven rasa cukup gembira lihat senyuman di wajah Ah Ma. Semoga Ah Ma sentiasa dikurniakan kesihatan sehendaknya,” katanya. – MalaysiaGazette
















