Mohd Ridhwan (dua kiri) menerima replika cek sumbangan korporat pada Majlis Iftar dan Pelancaran Food Bank WYF 2026. sambil disaksikan Mohd Ali (tengah) di Istana Melaka, Bukit Beruang, Melaka, malam tadi

MELAKA – World Youth Foundation (WYF) menyasarkan kutipan dana RM1.65 juta bagi menyalurkan bantuan makanan kepada 24,000 penerima sepanjang tahun menerusi Program Food Bank 2026.

Pengerusi WYF, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali berkata, program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan memberi manfaat kepada 2,000 penerima setiap bulan.

Ini termasuk keluarga B40, asnaf, ibu tunggal, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari keluarga kurang berkemampuan.

“Program ini bukan sekadar menyalurkan makanan asas, malah memberi peluang kepada belia menjadi wira sukarelawan, menggalakkan penglibatan sektor korporat melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Apa yang lebih penting, usaha ini dapat mengurus lebihan makanan secara lestari,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar dan Pelancaran Food Bank WYF 2026.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Rustam, di Istana Melaka, Bukit Beruang, di sini malam tadi. Hadir sama Setiausaha Agung WYF Datuk Norsabrina Mohd Noor.

Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, mekanisme pemilihan penerima dijalankan secara telus untuk memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak.

“Antara barangan diagihkan termasuk beras lima kilogram, minyak masak, gula, tepung, sardin, biskut, susu, kicap, mi segera serta telur.

“Sumber kewangan program diperoleh daripada CSR syarikat korporat, wakaf, zakat, sedekah, penajaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sumbangan individu, serta kerjasama pasar raya dan industri makanan,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, WYF berjaya mengumpul RM388,520 bagi menampung kos operasi bulanan RM138,000.

“Kita mengalu-alukan semua pihak untuk bersama-sama WYF menjayakan program ini bagi membantu golongan berpendapatan rendah menampung kos sara hidup mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast