Tangkap layar daripada video tular berdurasi 16 saat dipercayai dirakam di Masjid Kampung Kling, Jalan Tukang Emas, Banda Hilir yang didakwa tidak mesra pelancong sejak semalam, kerana tidak memasang kipas (dalam bulatan) menyebabkan suasana kurang selesa dan panas kepada pelancong sekali gus mengundang pelbagai reaksi warga net.

MELAKA – Tular video berdurasi 16 saat mendakwa Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid di Melaka tidak mesra pelancong sejak semalam, sekali gus mengundang pelbagai reaksi warga maya.

Rakaman tersebut dipercayai dirakam di Masjid Kampung Kling, Jalan Tukang Emas, Banda Hilir di sini yang dibina sejak
tahun 1748 menjadikannya antara masjid tertua negara berusia 278 tahun.

Menerusi video itu, kelihatan seorang pemandu pelancong sedang memberi penerangan kepada sekumpulan pelancong mengenai keunikan seni bina masjid berkenaan yang berkonsepkan gabungan seni bina Melayu, Cina dan India.

Bagaimanapun, perakam video kemudian memfokuskan kepada keadaan dalam masjid yang didakwa tidak memasang kipas, menyebabkan suasana kurang selesa dan panas.

Individu yang memuat naik video berkenaan mendakwa pelancong bukan Islam yang ingin mengenali Islam terpaksa berpanas dan berpeluh ketika sesi penerangan berlangsung.

“Pelancong non-Muslim nak kenal Islam berpanasan dan berpeluh. Kata AJK takut bil elektrik melambung.

Cannot brain (tak boleh diterima) alasan AJK pun. Ingat rumah dia agaknya,” dakwanya menerusi kapsyen video berkenaan.

Tinjauan di ruangan komen video mendapati warga maya mempersoalkan dakwaan tersebut, malah ada yang meminta pihak berkuasa negeri tampil memberi penjelasan bagi mengelakkan salah faham.

MalaysiaGazette sedang mendapatkan penjelasan lanjut daripada Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman mengenai dakwaan ini.

Bagaimanapun, setakat ini, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan.

Masjid Kampung Kling yang terletak di zon warisan bandar Melaka sering menjadi lokasi lawatan pelancong tempatan dan luar negara kerana nilai sejarah serta keunikan kerana menggabungkan seni bina Sumatera, Cina, Hindu, dan Eropah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast