KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mendakwa Ahli Parimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak lagi mempunyai `locus stadi’ (hak) untuk mewakili parti itu atau Perikatan Nasional (PN) atas sebarang kapasiti.
Menurutnya, ia termasuk dalam membuat kenyataan dan urusan rasmi bagi pihak PN dan blok pembangkang.
Jelasnya, berdasarkan keputusan dasar Majlis Tertinggi PN pada 22 Februari lalu, jawatan Ketua Pembangkang turut dikosongkan berikutan pemecatannya dan Pas telah diminta untuk menamakan penggantinya secepat mungkin.
Tambah beliau, jawatan Ketua Pembangkang adalah jawatan blok parti seperti termaktub dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat 4A (4) dan konvensyen Westminster dan legitimasi politik seseorang ahli parlimen bergantung kepada keahlian parti dan representasi institusi.
“Tindakan Larut (Hamzah) yang terus mengeluarkan kenyataan dan bertindak seolah-olah masih mewakili PN bertentangan dengan dasar PN, prinsip tadbir urus Parlimen dan etika politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sejak pemecatannya daripada Bersatu, Hamzah membuat dua kenyataan atas kapasiti Ketua Pembangkang iaitu berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan kuasa dan had tempoh jawatan Perdana Menteri serta ucapan takziah atas kehilangan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei akibat serangan Israel.
Sementara itu, Tun Faisal Ismail berkata, dalam situasi sekarang, Hamzah sepatutnya berhenti membuat sebarang kenyataan atau tindakan yang memberi gambaran seolah-olah beliau masih mewakili PN.
Selain itu, menurutnya, Hamzah juga perlu mengakui bahawa jawatan Ketua Pembangkang kini kosong dan menerima status sebagai ahli parlimen bebas.
Dalam masa sama, tambahnya, Hamzah juga wajar menghormati prinsip, menjaga maruah diri dan institusi Dewan Rakyat serta PN, serta mempunyai perasaan malu.
“Tindakan yang berterusan seolah-olah masih memegang jawatan Ketua Pembangkang boleh menjejaskan kredibiliti diri Larut (Hamzah) serta integriti institusi Parlimen,” katanya.
Tambah beliau, dari perspektif etika politik, Hamzah wajar mengambil langkah sukarela untuk melepaskan jawatan Ketua Pembangkang demi memelihara maruah dan integriti diri, prinsip berparti dan sekiranya mempunyai perasaan malu.
“Akur dan menerima status ahli parlimen bebas serta melepaskan jawatan Ketua Pembangkang adalah langkah profesional dan beretika yang mencerminkan maruah, tanggungjawab dan prinsip politik yang tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette















