Dari kiri Penyunting Kanan ikhlas.com, Hazwan Abdul Rahman dan pempengaruh, Edin Komeng ketika berkongsi berita gembira tentang tajaan Umrah 1000 Asnaf bersama Mohd Nizam Mohamad Idrus dan isterinya, Suraya Zulkifli di Ampang, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) menghadiahkan pakej umrah kepada pemintal belon viral, Abang Mr Bean yang mendapat perhatian ramai menerusi kisahnya yang menampung kehidupan sebagai penghibur jalanan dengan meniru aksi watak komedi.

Kru produksi ikhlas.com bersama pempengaruh, Edin Komeng pada mulanya merancang untuk memborong kesemua belon Mohd Nizam Mohamad Idrus, 49, yang menjualnya seikhlas hati  agar pelanggan boleh menentukan sendiri berapa yang ingin dibayar.

Setelah mendapatkan kelulusan peringkat atasan, mereka menyampaikan berita gembira itu kepada Mohd Nizam dan isterinya, Suraya Zulkifli, 49, bahawa mereka telah terpilih sebagai penerima tajaan Umrah 1000 Asnaf 1448H daripada ikhlas.com.

“Saya terharu sangat, saya tak pernah jangka di awal bulan Ramadan ini saya mendapat kejutan daripada ikhlas.com. Apa yang saya lalui sepanjang perjalanan hidup kami berdua ini, saya rasa Allah sudah balas dengan cara yang tak disangka-sangka. Umrah bukan kepada yang mampu, tetapi bila Allah dah seru benda ni tak mustahil akan berlaku,” kata Mohd Nizam.

Program Umrah 1,000 Asnaf dilancarkan pada 19 Mac 2025 sempena sambutan Ulang Tahun ke-5 ikhlas.com dengan misi untuk memperkasakan komuniti setempat dalam mengenal pasti golongan asnaf yang terpilih untuk merealisasikan impian mereka melaksanakan ibadah umrah.

Ia selaras misi ikhlas.com untuk menjadikan Umrah mampu diakses oleh semua umat Islam, termasuk mereka yang tidak berkemampuan, sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Pelepasan seterusnya untuk musim umrah 1448H dijadualkan selepas musim haji akan datang.

Ditubuhkan pada Oktober 2020, ikhlas.com merupakan platform digital Islam Capital A yang menawarkan penyelesaian Umrah dan perjalanan mesra Muslim, di samping perkhidmatan patuh Syariah seperti zakat, qurban, aqiqah, sedekah dan fidyah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast