Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Kajian yang dilaksanakan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berhubung pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur dilaksanakan secara menyeluruh berlandaskan undang-undang.

Ia juga tidak akan menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan, kajian berkenaan turut meneliti sejarah pembentukan Kuala Lumpur serta proses tadbir urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kajian UIA sangat penting kerana dalam kajian tersebut mereka juga mengkaji sejarah bagaimana Kuala Lumpur dibentuk dan proses tadbir urus DBKL.

“Saya bagi jaminan, jangan risau. Kajian itu sangat menyeluruh dan tidak akan membuat apa-apa keputusan yang hasty dengan izin dengan pantas tanpa mengambilkira sejarah. Sejarah itu penting dan kita menghormatinya.

“Kita tunggu dulu hasil kajian dan saya akan pastikan kita bawa kepada Jemaah Menteri untuk bincangkan,” katanya pada sesi jawapan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas soalan yang mendakwa kajian itu mempunyai hasrat tertentu untuk mengubah struktur sedia ada, Hannah berkata, kajian berkenaan telah diberikan kepada UIAM sebelum beliau dilantik sebagai Menteri pada 17 Disember.

“Kajian itu telah diberikan kepada UIAM awal bulan Disember, sebelum saya masuk. Jadi sangkaan jahat bahawa ini adalah Menteri DAP nak sentuh kuasa, semua itu tidak benar.

“Kajian diwujudkan sebelum saya masuk. Yang keduanya, seperti yang saya nyatakan, kajian ini bermula kerana Jabatan Wilayah melihat Akta Ibu Kota dan sebagai respon kepada ahli-ahli Parlimen yang telah membentangkan rang undang-undang persendirian dalam Dewan Rakyat yang telah meminta supaya Jabatan Wilayah melihat struktur ahli majlis,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast