Jabatan Laut Malaysia.

KUALA LUMPUR – Semua kapal berdaftar Malaysia serta syarikat perkapalan disaran mengelakkan pelayaran melalui Selat Hormuz sehingga notis lanjut susulan perkembangan semasa di Asia Barat.

Jabatan Laut Malaysia (JLM) dalam satu kenyataan malam tadi memaklumkan, kapal-kapal berkenaan juga disaran menilai serta merancang semula laluan pelayaran dengan mengambil kira situasi keselamatan semasa.

Tambahnya, pengendali kapal Malaysia juga disaran sentiasa memantau nasihat keselamatan maritim yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan di peringkat antarabangsa.

Selain itu, katanya, tahap kesiapsiagaan kapal serta kru juga perlu dipastikan berada pada tahap tertinggi sepanjang operasi pelayaran.

“Langkah berjaga-jaga ini adalah penting berikutan ketegangan keselamatan yang berpotensi menjejaskan keselamatan kapal, kru serta kargo yang beroperasi di kawasan berisiko,” katanya.

Sementara itu, tambahnya, JLM turut menasihatkan semua pengendali kapal Malaysia yang berada berhampiran kawasan tersebut agar meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi.

Selain itu, katanya, pengendali kapal Malaysia juga perlu memastikan komunikasi sentiasa aktif dengan pihak pengurusan syarikat dan pihak berkuasa berkaitan bagi membolehkan tindakan segera diambil sekiranya diperlukan.

“Kerjasama semua pihak industri perkapalan amat dihargai dalam memastikan operasi pelayaran Malaysia kekal selamat, teratur dan berdaya tahan terhadap sebarang risiko keselamatan antarabangsa,” katanya.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Iran mengumumkan penutupan Selat Hormuz dan melarang semua kapal daripada melintasi laluan strategik itu, sebagai tindak balas terhadap pencerobohan berterusan Israel–Amerika Syarikat (AS).

Pengumuman itu dibuat oleh IRGC Navy menerusi siaran radio yang memaklumkan tiada sebarang pergerakan kapal dibenarkan sehingga notis lanjut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast