KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang menghentikan rancangan realiti berunsur agama secara menyeluruh, sebaliknya akan memperketat pematuhan garis panduan serta mekanisme pemantauan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, berkata, langkah itu diambil bagi memastikan kandungannya kekal berlandaskan prinsip syariah dan undang-undang.
Menurutnya, kerajaan mengambil maklum kebimbangan susulan penglibatan segelintir bekas peserta rancangan realiti agama dalam aktiviti yang menjejaskan imej Islam, namun salah laku individu perlu dibezakan daripada objektif asal program.
“Sebarang pelanggaran undang-undang adalah tanggungjawab peribadi dan tertakluk kepada proses perundangan sedia ada.
“Dari sudut dasar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyediakan Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) 2014 yang diperakukan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
“Garis panduan itu antara lain menetapkan program berunsur agama hendaklah berteraskan akidah, syariah dan akhlak, termasuk dari segi kandungan, persembahan serta keperibadian individu terlibat.
“Perkara 10(1)(a) turut menetapkan individu yang terlibat perlu mengekalkan peribadi mulia walaupun di luar persembahan,” katanya di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Jufitri Joha tentang langkah yang telah diambil oleh kerajaan sama ada untuk menghentikan sementara rancangan realiti agama atau mengetatkan garis panduan program realiti agama, berikutan penglibatan segelintir
bekas peserta dalam aktiviti yang merosakkan imej agama Islam.
Tambah Marhamah, kerajaan akan meningkatkan pematuhan garis panduan sedia ada melalui pengukuhan mekanisme pemantauan kandungan, penglibatan penasihat atau panel syariah serta kerjasama dengan pihak penyiaran agar pelaksanaan program lebih berdisiplin dan bertanggungjawab. – MalaysiaGazette
















