PEKAN – Fasiliti Malbatt Village di Port Dickson, Negeri Sembilan bakal menjadi lokasi tambahan sementara bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2026 yang akan bermula 25 April ini.
Menurut Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Abdul Aziz Zainal, tambahan fasiliti yang boleh menampung kira-kira 600 pelatih itu akan menjadi penyelesaian jangka pendek memandangkan pertambahan jumlah pelatih yang berminat untuk menyertai PLKN secara sukarela.
“Dijangkakan dengan tiga fasiliti ini boleh menampung penyertaan kira-kira 1,400 pelatih. Kami yakin lebih ramai pada kemasukan selepas ini yang akan berminat menjadi pelatih.
“Akan tetapi, bakal pelatih yang mahu menyertai secara sukarela perlu memaklumkan pihak JLKN terlebih dahulu dan tidak hadir mengejut ketika hari pendaftaran (walk-in),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Upacara Perbarisan Tamat Latihan PLKN 3.0 Siri 3.0 1/2026 di Kem 505, di sini hari ini yang menyaksikan seramai 556 orang pelatih lelaki menamatkan latihan yang berlangsung sejak 17 Januari lepas.
Abdul Aziz menambah, keutamaan penyertaan juga akan diberikan kepada 254 orang bakal pelatih yang tidak dapat menyertai PLKN 3.0 Siri 1/2026 baru-baru ini.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan bakal pelatih yang telah dipilih atau secara sukarela melakukan persiapan sewajarnya sebelum pendaftaran, termasuk hal-hal berkaitan laporan kesihatan.
Sementara itu, dalam majlis sama, seorang pelatih, Muhammad Afiq Fiqri Zulhakebar, 18 yang berasal dari Perak dipilih penerima Anugerah Wiramuda Ulung selalu Pelatih Lelaki Terbaik bagi PLKN 3.0 siri 1/2026.
Ketika ditemui, anak sulung kepada pesara tentera itu berkata, latihan intensif selama 45 hari ini sepanjang program itu menjadikan dia lebih berdisiplin dan menepati masa.
“Perbezaan yang paling ketara semestinya mengenai disiplin diri khususnya berkaitan bangun awal. Kalau di rumah, boleh bermalas-malasan bangun dalam pukul 7 pagi, tapi di sini, memang semua bergerak awal.
“Waktusahur perlu bangun pukul 4 pagi untuk mandi dan semua perlu siap berada di bawah,” katanya.

Muhammad Afiq Fiqri yang bercita-cita ingin menjadi seorang tentera udara turut berkongsi keterujaannya dapat merasai pengalaman memegang senjata api buat pertama kali menerusi sesi latihan di faisiliti itu.
Jelasnya, ia merupakan pengalaman paling tidak dapat dilupakan selain aktiviti dan pembelajaran lain.
“Sebab saya masuk PLKN, dalam banyak-banyak aktiviti yang saya tunggu, memang aktiviti menembak. Sebab ini pertama kali saya menembak menggunakan selaras senapang M16. Pengalaman tu takkan saya lupakanlah.
“Program ni telah banyak membantu saya untuk mengenali serba sikit tentang asas ketenteraan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















