KUALA LUMPUR – Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun secara agregat.
Membacakan rang undang-undang itu untuk kali kedua di Dewan Rakyat, Anwar berkata, pindaan tersebut bertujuan memperkukuh sistem demokrasi berperlembagaan dan memastikan kuasa tertinggi eksekutif tertakluk kepada disiplin Perlembagaan.
Menurutnya, kematangan sesebuah negara tidak diukur pada lamanya seseorang memegang tampuk kuasa, sebaliknya pada kekuatan institusi yang mampu menjamin kesinambungan pentadbiran dan dasar negara.
“Pengehadan tempoh jawatan bukan penafian terhadap peluang kepimpinan, tetapi satu ikhtiar supaya negara dipandu institusi yang kukuh dan tidak terikat kepada mana-mana individu,” katanya.
Tegasnya, cadangan itu tidak mengubah asas demokrasi berparlimen, tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengurangkan peranan Dewan Rakyat dalam menentukan kepercayaan kepada kerajaan.
Sebaliknya, kata beliau, pindaan itu memperjelaskan struktur perlembagaan melalui peruntukan khusus berkaitan had tempoh jawatan sebagai sebahagian daripada mekanisme semak dan imbang.
“Di bawah cadangan pindaan kepada Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri tidak boleh memegang jawatan melebihi 10 tahun secara agregat, sama ada secara berterusan atau sebaliknya.
“Peruntukan baharu itu turut menetapkan bahawa Perdana Menteri hendaklah terhenti jawatan apabila tempoh tersebut genap 10 tahun, dan pemberhentian itu akan berbangkit kepada anggota Jemaah Menteri.
“Namun, bagi memastikan kesinambungan pentadbiran, Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang terhenti jawatan dibenarkan menjalankan fungsi terhad bagi urusan pentadbiran harian sehingga Perdana Menteri baharu dilantik,” ujarnya.
Tempoh seseorang melaksanakan fungsi Perdana Menteri selepas pembubaran Parlimen tidak akan diambil kira dalam pengiraan 10 tahun berkenaan.
Anwar berkata, kerajaan telah mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan pakar perlembagaan sebelum membentangkan pindaan tersebut.
Beliau menyeru semua ahli parlimen memberikan sokongan terhadap rang undang-undang itu demi memperkukuh tatakelola dan memastikan kepimpinan negara sentiasa berlandaskan prinsip akauntabiliti. – MalaysiaGazette
















