WASHINGTON – Tiga orang maut manakala 14 yang lain cedera dalam insiden tembakan di pusat bandar Austin, Texas pada awal pagi Ahad, menurut pihak berkuasa selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan berhampiran sebuah premis hiburan sebelum ditembak mati oleh polis.
Menurut Anadolu Ajansi, suspek didakwa memandu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) mengelilingi blok kawasan itu beberapa kali sebelum melepaskan tembakan menggunakan pistol dari dalam kenderaannya ke arah pelanggan di luar sebuah bar.
Dia kemudian keluar dari SUV berkenaan dan terus melepaskan tembakan menggunakan senapang di sepanjang Sixth Street sebelum anggota polis berdepan dengannya dan menembak mati suspek.
Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMS) Austin-Travis County memaklumkan tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala 14 lagi dikejarkan ke hospital dengan tiga daripadanya dalam keadaan kritikal.
Pasukan paramedik tiba dalam tempoh 57 saat selepas panggilan kecemasan pertama diterima.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) turut menyertai siasatan dan menyatakan masih terlalu awal untuk menentukan motif kejadian, namun pihak berkuasa sedang meneliti “kemungkinan kaitan dengan keganasan”.
Menurut CBS News, lelaki bersenjata itu dikenal pasti sebagai Ndiaga Diagne, 53 tahun.
CBS melaporkan bahawa ia memperoleh sekeping gambar suspek yang dirakam selepas dia ditembak mati oleh polis, yang menunjukkan dia memakai pakaian semasa serangan itu, termasuk baju dengan corak menyerupai bendera Iran.- BERNAMA-ANADOLU
















