Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Republik Rakyat China, Wang Yi hadir ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Plus Tiga ke-26 ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 JULAI 2025.

BEIJING – Menteri Luar China Wang Yi mengulangi pendirian Beijing untuk menyokong penuh usaha Iran dalam mempertahankan kedaulatan, keselamatan, keutuhan wilayah dan maruah negara itu.

Beliau membuat kenyataan itu selepas dimaklumkan mengenai perkembangan terkini situasi Iran oleh rakan sejawatnya dari negara itu, Seyed Abbas Araghchi menerusi perbualan telefon pada Isnin.

Menurut Araghchi, Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap Iran buat kali kedua ketika rundingan berkenaan sedang berjalan.

Beliau berkata tindakan AS itu melanggar undang-undang antarabangsa dan melangkaui garis merah Iran, meskipun kedua-dua pihak sebelum ini mencapai kemajuan positif dalam rundingan pusingan baharu.

Sehubungan itu, Tehran tidak mempunyai pilihan selain mempertahankan diri, katanya.

Dalam perbualan telefon itu, Wang turut menyatakan sokongan kepada usaha Iran dalam memelihara hak dan kepentingan sah negara berkenaan.

Beliau berkata China telah mendesak AS dan Israel supaya menghentikan operasi ketenteraan serta-merta bagi mengelakkan ketegangan terus memuncak dan mencegah konflik daripada merebak ke seluruh Timur Tengah.

China yakin bahawa Iran akan mengekalkan kestabilan negara dan sosial, selain mengambil berat terhadap kebimbangan negara jiran serta menjamin keselamatan warganegara dan institusi China di Iran. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast