KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul supaya Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 berhubung pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas untuk penelitian lanjut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, ketika membentangkan usul itu berkata jawatankuasa berkenaan akan meneliti keseluruhan peruntukan RUU termasuk mekanisme kebertanggungjawaban Pendakwa Raya serta mencadangkan sebarang pindaan yang difikirkan perlu.
Menurut beliau, jawatankuasa itu diberi tempoh tiga bulan untuk mengemukakan satu penyata mengandungi cadangan pindaan terhadap RUU berkenaan.
“Jawatankuasa Pilihan Khas boleh sekiranya perlu melanjutkan tempoh berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Usul tersebut kemudiannya diluluskan dengan suara majoriti Ahli Parlimen.
Jawatankuasa Pilihan Khas itu akan dianggotai Azalina bersama William Leong (PH-Selayang), Syahredzan Johan (PH-Bangi), Adly Zahari (PH-Alor Gajah), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Roy Angau anak Gingkoi (GPS-Lubok Antu) dan Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau).
Turut disenaraikan ialah Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut), Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar).
RUU berkenaan sebelum ini dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat minggu lalu. – MalaysiaGazette
















