Murad Jailani

PASIR GUDANG – Kegagalan mendapat undian dua pertiga berhubung cadangan had 10 tahun tempoh Perdana Menteri di Parlimen semalam bukan bermaksud sokongan terhadap Kerajaan Madani rapuh.

Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pasir Gudang, Murad Jailani berkata, sebaliknya perkembangan tersebut menunjukkan proses demokrasi berjalan dengan tertib dan mengikut lunas Perlembagaan.

“Pertama sekali, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua ahli Parlimen yang telah mengambil bahagian dalam proses pengundian pindaan Perlembagaan tersebut.

“Usaha untuk mereformasikan had jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun merupakan satu langkah berani dan signifikan ke arah memperkukuh sistem demokrasi negara.

“Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) telah menunaikan janji reformasi dengan membawa sendiri usul ini ke Dewan Rakyat. Ini membuktikan komitmen beliau terhadap prinsip pembaharuan institusi dan tadbir urus yang lebih telus,” katanya dalam kenyataan.

Semalam Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Nadzir Helmi mendakwa pindaan Perlembagaan untuk hadkan tempoh tersebut didakwa gagal dilakukan dan ini bermaksud Kerajaan Madani tidak ada majoriti sokongan dua pertiga.

Beliau mendakwa, perkembangan tersebut menunjukkan Kerajaan Madani berada dalam keadaan rapuh.

Mengulas lanjut, Murad berkata, hakikatnya, sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Madani, pelbagai inisiatif kebajikan dan bantuan kepada rakyat dilaksanakan serta mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Usaha-usaha memperkukuh ekonomi, membantu golongan rentan serta menstabilkan pentadbiran negara terus dipersetujui dan didukung, katanya.

“Adalah tidak tepat untuk memutar belit fakta dengan menggambarkan kegagalan pindaan ini sebagai tanda hilangnya kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri,” katanya.

Sebaliknya ujar beliau, ini membuktikan Perdana Menteri berani membuka ruang kepada had kuasa, malah memberi peluang kepada kepimpinan silih berganti, satu tawaran reformasi yang jarang berlaku dalam sejarah politik negara.

“Saya menegaskan fokus utama kerajaan ketika ini adalah kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat. Politik persepsi tidak harus mengatasi kepentingan negara.

“Kerajaan Madani akan terus bekerja, berkhidmat dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah demi rakyat Malaysia,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast