JAINJ cekup pasangan yang berkhalwat dalam serbuan di sebuah bilik hotel di Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Sepasang kekasih berkongsi membayar sewa hotel selepas masing-masing baru mendapat gaji dan sempat makan mi segera sebelum dicekup sedang berkhalwat pada siang hari.

Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam satu kenyataan memberitahu, serbuan dilakukan di bilik hotel yang terletak di daerah ini pada pukul 3 petang semalam.

“Pintu diketuk dan dibuka lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang berseluar panjang dan t-shirt. Penguat kuasa masuk ke bilik dan mendapati bilik terang dalam keadaan televisyen dan penghawa dingin terpasang.

“Penguat kuasa terus membuat pemeriksaan di tandas yang pintunya tidak berkunci dan menemui seorang wanita sedang berdiri menghadap pintu sebelum meminta wanita itu keluar. Dia memakai seluar panjang dan t-shirt lengan panjang,” jelas kenyataan tersebut.

JAINJ memaklumkan, ketika ditanya, kedua-duanya mengaku tidak berpuasa dan makan, sementara hasil soal siasat pasangan berkenaan memberitahu mereka hanya berdua-duaan dan bukan suami isteri.

“Apabila ditanya kenapa mereka sewa hotel, mereka jawab ada perkara yang hendak dibincangkan. Mereka juga adalah pasangan kekasih dan ada hasrat untuk bernikah.

“Pasangan ini mengambil kesempatan menyewa bilik hotel berdua untuk berseronok-seronok tidak kira di bulan puasa. Mereka melepaskan rindu dan tidak menyangka ditangkap kerana tidak tahu penguat kuasa juga membuat pemeriksaan di hotel siang hari,” katanya.

Pasangan itu kemudian ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Negeri Johor) 1997 atas kesalahan berkhalwat dan akan didakwa di Mahkamah Syariah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast