Anthony Loke.

KUALA LUMPUR – Kontraktor utama Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), Setia Utama LRT3 Sdn. Bhd., kini berdepan penalti kewangan atau Liquidated and Ascertained Damages (LAD) berjumlah RM474,894,729 sehingga 31 Disember lalu, kerana gagal menepati jadual penyiapan projek.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ia berdasarkan LAD harian yang dikenakan ke atas kontraktor iaitu RM2,729,280 atau bersamaan 0.024 peratus daripada jumlah harga kontrak.

“Penalti ini mengambil kira kelewatan sebanyak 174 hari sejak tamat lanjutan masa pada 10 Julai 2025.

“Pihak kontraktor utama sedia maklum berkenaan LAD tersebut, dan pihak Prasarana telah pun mendapat jaminan dari pihak kontraktor utama untuk mengurus dan menyelesaikan kesemua masalah yang berbangkit dalam tempoh masa terdekat,” katanya sewaktu pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) berhubung jumlah LAD ke atas kontraktor Setia Utama LRT3 Sdn. Bhd. sehingga 31 Disember tahun lalu akibat kelewatan projek, termasuk sama ada ia berpunca daripada kegagalan Siemens menyediakan perisian mengikut jadual.

Sementara itu, Anthony Loke berkata, selain kelewatan pihak kontraktor utama, kegagalan pembekal sistem semboyan, Siemens menyediakan perisian mengikut jadual juga menyumbang kepada penangguhan.

Menurut beliau, beberapa faktor lain termasuk kelewatan ujian kritikal bagi sistem lain seperti sistem komunikasi, ujian integrasi (System Integration Test, SIT) serta siri kegagalan semasa ujian Larian Tanpa Gagal (Fault Free Run, FFR).

“Fokus utama Prasarana kini adalah menyelesaikan baki lapan set tren untuk ujian FFR bagi memastikan operasi LRT3 dapat diteruskan tanpa gangguan,” ujarnya – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast