Isteri Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor hadir bagi mengikuti keputusan berhubung kesahihan serta pelaksanaan Titah Adendum untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 DISEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

PUTRAJAYA – Datin Seri Rosmah Mansor gagal menggugurkan hakim Mahkamah Tinggi dalam kes rasuah solar hibrid selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhirnya.

Oleh yang demikian, hasrat isteri bekas Perdana Menteri agar beliau dibicara semula terhadap pertuduhan yang dihadapinya, tidak kesampaian.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Nordin Hassan sebulat suara berpuas hati, tidak wujud bahaya berat sebelah yang nyata terhadap keputusan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang mensabit dan menghukum Rosmah.

Panel mahkamah tertinggi negara turut mendapati Hakim Mohamed Zaini tidak melanggar Kod Etika Hakim 2009.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar berpendapat, Mahkamah Rayuan tidak terkhilaf ketika menolak rayuan Rosmah, jadi tidak wajar panel hari ini campur tangan terhadap keputusan tersebut.

Ekoran perkembangan itu, rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta, akan didengar di Mahkamah Rayuan.

Pengurusan kes bagi rayuan tersebut ditetapkan esok.

Barisan peguam yang mewakili Rosmah Mansor beredar dari kamar Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman, Putrajaya selepas prosiding rayuan berkaitan pengguguran hakim bicara kes solar hibrid. 3 MAC 2026.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Nordin berkata, asas utama Rosmah mengemukakan permohonan supaya hakim berkenaan menarik diri adalah bersandarkan kepada kewujudan draf penghakiman yang disediakan oleh unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum hakim bicara menyampaikan keputusannya pada 1 September 2022.

Kata Hakim Nordin, kewujudan draf penghakiman itu bagaimanapun tidak dipertikaikan.

“Satu-satu isu yang ditimbulkan adalah sama ada terdapat bahaya berat sebelah yang nyata yang mana pemohon menyatakan hakim berkenaan bergantung kepada draf penghakiman disediakan oleh pihak ketiga.

“Ini bukan fakta biasa antara dua pihak dalam sesuatu kes. Sebaliknya ia merupakan permohonan agar hakim bicara menarik diri dalam keadaan beliau mempunyai kedudukan untuk menyangkal dakwaan terhadapnya.

“Kami mendapati tujuh alasan yang dibangkitkan oleh peguam perayu berhubung kewujudan bahaya berat sebelah yang nyata, tidak dibuktikan,” ujar beliau.

Menurut Hakim Nordin, hakim bicara dalam alasan penghakimannya berkaitan permohonan menarik diri menyatakan, beliau tidak bergantung kepada draf penghakiman yang disediakan unit penyelidikan.

Sebaliknya, hakim berkenaan menyediakan alasan penghakiman berdasarkan penyelidikan sendiri berdasarkan hujahan pihak-pihak dalam kes itu.

Ujar Hakim Nordin, Mahkamah Rayuan yang meneliti draf penghakiman unit penyelidikan mendapati ia berbeza dengan alasan penghakiman yang disediakan oleh hakim berkenaan.

“Mahkamah Rayuan membuat kesimpulan bahawa hakim bicara menyediakan sendiri alasan penghakiman tanpa bergantung kepada draf yang disediakan oleh pihak berkenaan,” ujarnya.

Oleh yang demikian, panel itu berpuas hati, keputusan hakim bicara untuk tidak membenarkan penangguhan dan meneruskan prosiding adalah wajar dan tidak melanggar hak-hak berperlembagaan pemohon mahupun perlanggaran prosedur.

Terdahulu, mahkamah mendengar penghujahan peguam-peguam Datuk Jagjit Singh, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaludin dan Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Rosmah.

Sementara itu Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Asnawi Abu Hanipah dan Ng Siew Wee mewakili pasukan pendakwaan.

Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini memutuskan Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan memerintahkan wanita itu dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Sebelum keputusan tersebut diberikan, Rosmah memfailkan permohonan untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini atas alasan beliau meragui integritinya ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.

Laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu, kemudian tular di media sosial. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast