Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Gangguan perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang menimbulkan kesulitan kepada pengguna berpunca daripada sebahagian tren yang sudah lama dan memerlukan penggantian.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, set tren baharu telah dibeli, namun proses penghantaran dan penukaran tren dijangka mengambil masa sehingga dua tahun.

“Saya nak beri jaminan bahawa Kementerian Pengangkutan akan sentiasa meletakkan keutamaan kepada keselesaan dan keutamaan pengguna,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berhubung kekerapan gangguan LRT laluan Kelana Jaya, selain membangkitkan persoalan sama ada ia berlaku disebabkan kekurangan peruntukan bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

Sementara itu, Anthony Loke menafikan sebarang pemotongan kos penyelenggaraan tren dan menegaskan walaupun terdapat kekangan kewangan, aspek penyelenggaraan tren tidak pernah dikompromi.

“Walaupun kita menghadapi pelbagai kekangan kewangan, dari segi penyelenggaraan tidak dikompromi. Tidak ada apa-apa potongan terhadap isu penyelenggaraan.

“Untuk projek akan datang, sudah tentu kita akan melihat dari segi skop keseluruhan kos tersebut. Bukan sahaja untuk membiayai pembelian set tren tetapi juga akan melihat aspek perjanjian perkhidmatan jangka panjang,” katanya.

Tambah beliau, banyak operator luar negara memasukkan kos penyelenggaraan dalam perjanjian jangka panjang mereka.

“Sebelum ini memang tidak ada perjanjian perkhidmatan jangka panjang. Tetapi sekarang, kita nak berunding dengan pihak OEM (pengeluar peralatan asal), semasa membekalkan set tren itu mereka juga membekalkan perjanjian perkhidmatan jangka panjang.

“Ia untuk menjamin satu sistem penyelenggaraan yang lebih komprehensif,” katanya.

Perkhidmatan tren LRT laluan Kelana Jaya sebelum ini beberapa kali dilaporkan mengalami gangguan terutama pada waktu puncak sehingga mengundang kemarahan pengguna.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast