JOHOR BAHRU – Yuran sekolah aliran agama di negeri ini didakwa semakin tinggi terutama terhadap keluarga B40 dan M40 yang sedang berdepan tekanan ekonomi.
Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman mendakwa, isu itu semakin membebankan ibu bapa dalam keadaan kos sara hidup terus meningkat.
“Sejak kebelakangan ini, kami menerima pelbagai aduan daripada ibu bapa yang menyuarakan kebimbangan terhadap kadar yuran bulanan, bayaran tahunan serta pelbagai bayaran tambahan yang dirasakan tidak diperincikan secara telus.
“Pendidikan agama tidak seharusnya menjadi beban kewangan yang menekan rakyat apatah lagi kepada keluarga B40 dan M40 yang sedang berdepan tekanan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, isu itu bukan sahaja melibatkan Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) tetapi merangkumi pelbagai institusi pendidikan agama lain di negeri ini seperti Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB), sekolah agama swasta, sekolah tahfiz persendirian, sekolah pondok moden serta sekolah menengah agama negeri.
Selain itu katanya, terdapat juga institusi yang bernaung bawah pentadbiran agama negeri melalui serta sekolah agama rakyat dan tahfiz yang berdaftar bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Setiap kategori sekolah itu jelasnya, mempunyai struktur pentadbiran dan kaedah pembiayaan yang berbeza, sekali gus memberi kesan kepada kadar yuran dikenakan kepada ibu bapa.
Berdasarkan maklum balas ibu bapa di beberapa daerah, anggaran yuran SAKJ lazimnya melibatkan bayaran pendaftaran sekitar RM50 hingga RM150 setahun dan yuran bulanan antara RM20 hingga RM60 seorang murid.
Begitu juga katanya, bayaran tambahan seperti buku teks, aktiviti kokurikulum dan peperiksaan yang boleh mencecah RM100 hingga RM300 setahun bergantung kepada sekolah.
Bagi sekolah agama swasta dan tahfiz persendirian pula ujarnya, yuran bulanan boleh menjadi lebih tinggi bergantung kepada kemudahan, penginapan serta kurikulum yang ditawarkan.
Walaupun jumlah itu mungkin sederhana secara individu, bagi keluarga yang mempunyai tiga atau empat anak, keseluruhannya boleh mencecah ratusan hingga melebihi seribu ringgit setahun, katanya.
Justeru katanya, ketelusan pecahan bayaran serta mekanisme pengecualian atau subsidi bersasar amat diperlukan merangkumi semua kategori sekolah agama.
Beliau memberitahu, terdapat 575 buah SAKJ di seluruh negeri termasuk Sekolah Rendah Agama Bersepadu yang melibatkan ribuan murid dan tenaga pengajar.
Tambahnya, di samping itu puluhan sekolah agama swasta, sekolah tahfiz dan sekolah pondok turut beroperasi di bandar dan luar bandar.
Skala yang besar itu ujarnya, membuktikan bahawa sistem pendidikan agama merupakan institusi penting dalam pembinaan sahsiah dan jati diri anak-anak Johor.
Katanya, namun begitu, berdasarkan aduan dan laporan lapangan, masih terdapat sekolah yang berdepan kekurangan guru serta kekangan bilik darjah, khususnya di kawasan padat penduduk dan pembangunan baharu.
Menurutnya, kekurangan itu menyebabkan nisbah murid kepada guru menjadi tinggi dan ada kelas yang terpaksa menempatkan murid melebihi kapasiti ideal.
Selain isu yuran, Pejuang Johor turut mengambil perhatian terhadap kebajikan guru sekolah aliran agama, sama ada di sekolah kerajaan negeri mahupun institusi swasta dan tahfiz.
Suraya memaklumkan, secara umum anggaran gaji permulaan guru sekolah agama negeri adalah sekitar RM1,500 hingga RM2,500 sebulan bergantung kepada kelayakan dan tempoh perkhidmatan dan sebahagiannya berstatus kontrak.
Di sekolah agama swasta atau tahfiz persendirian katanya, kadar gaji ada kalanya lebih rendah dan bergantung kepada kemampuan kewangan institusi.
“Ini berbeza dengan guru sekolah kebangsaan atau sekolah menengah kerajaan di bawah yang menikmati gaji permulaan lebih kompetitif bagi lepasan ijazah pendidikan, selain elaun tetap, imbuhan tahunan dan laluan kenaikan pangkat yang lebih jelas di bawah skim perkhidmatan awam
“Jurang ini menimbulkan persepsi ketidakseimbangan daripada segi pengiktirafan dan jaminan kerjaya,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Pejuang Johor mencadangkan supaya satu pelan penyelarasan dan penambahbaikan skim gaji serta kebajikan guru sekolah aliran agama dirangka secara menyeluruh, melibatkan sekolah kerajaan negeri, sekolah agama swasta dan tahfiz berdaftar.
Penyelarasan itu tegasnya, lebih bermakna dan berimpak jangka panjang berbanding bantuan bersifat one-off seperti Bantuan Khas Kewangan Johor (BKJ).
“Guru adalah tunjang utama pembentukan generasi berilmu dan berakhlak. Oleh itu kebajikan mereka mesti diberikan keutamaan secara berstruktur dan berterusan, bukan sekadar bantuan sementara,” katanya.
Dalam masa yang sama, keadaan fasiliti dan infrastruktur di sesetengah sekolah aliran agama juga dilaporkan memerlukan penambahbaikan segera, maklumnya.
Suraya berkata, isu bangunan uzur, kemudahan pembelajaran yang terhad serta kekurangan akses kepada teknologi moden tidak boleh dipandang ringan.
Dalam era pendidikan digital katanya, pelajar sekolah agama, sama ada di bawah pentadbiran kerajaan negeri mahupun swasta berhak menikmati kemudahan yang selesa dan setara agar mereka tidak ketinggalan.
Pejuang Johor menggesa kerajaan negeri dan pihak berkuasa berkaitan supaya melaksanakan semakan menyeluruh terhadap struktur yuran dengan memastikan ketelusan dalam setiap komponen bayaran, menyediakan skim bantuan atau subsidi bersasar kepada keluarga yang memerlukan.
Ia merangkumi semua jenis sekolah agama, menyelaraskan skim gaji dan kebajikan guru secara komprehensif serta merangka pelan tindakan jelas untuk menangani kekurangan guru dan pembinaan bilik darjah tambahan secara berperingkat.
Beliau menambah, mekanisme aduan yang lebih responsif dan terbuka juga perlu diwujudkan agar suara ibu bapa dan guru dapat didengar tanpa rasa bimbang.
Pejuang Johor akan terus komited memperjuangkan isu ini secara berprinsip dan konstruktif demi memastikan pendidikan agama di negeri ini kekal berkualiti, inklusif serta tidak membebankan rakyat.
“Pendidikan adalah amanah, dan pengurusannya mesti berteraskan ketelusan, keadilan serta kepentingan masa depan anak-anak Johor,” katanya.- MalaysiaGazette
















