Onn Hafiz dan Khairin-Nisa merakam kenangan dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Media Negeri Johor dan Penyampaian Bantuan Kasih Johor (BKJ) Pengamal Media 2.0 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Saujana, Johor Bahru malam tadi.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 130 mangsa kebakaran yang hilang tempat tinggal selepas rumah mereka di Kampung Orang Asli Teluk Jawa, Masai di sini musnah dalam kebakaran pada 12 Februari lalu sudah pun dipindahkan kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Cik Khairin-Nisa Ismail berkata, pemindahan tersebut melibatkan 39 keluarga ke Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Cendana, Pasir Gudang.

“Selepas rumah terbakar mereka dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muafakat Taman Megah Ria dan kelmarin mereka berpindah ke PPR Taman Cendana.

“Mangsa turut menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta beberapa agensi berkaitan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan selepas kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Media Negeri Johor dan Penyampaian Bantuan Kasih Johor (BKJ) Pengamal Media 2.0 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Saujana, di sini malam tadi.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah.

Terdahulu Lebih 30 buah rumah di Kampung Orang Asli Teluk Jawa dilaporkan musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 7 pagi.

Dilaporkan kebakaran memusnahkan 90 peratus kediaman atas air milik Orang Asli Seletar itu, selain merosakkan dua bot, sebuah kereta dan enam motosikal penduduk.

Susulan itu, Majlis Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) merupakan antara pihak awal yang menyumbangkan RM5,000 kepada setiap keluarga yang terjejas.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut memberikan sumbangan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast