KUALA LUMPUR – Tujuh pelajar Selangor yang menuntut di Jordan dilaporkan terkandas di Jeddah, Arab Saudi, telah dipindahkan ke Jordan susulan konflik di Asia Barat yang tercetus baru-baru ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata, pelajar berkenaan terkandas selepas memasuki Arab Saudi bagi menunaikan ibadah umrah.
Katanya, mereka sepatutnya pulang semula ke Jordan pada 28 Februari lalu.
Susulan itu Amirudin berkata, wakil kerajaan Selango berhubung dengan pegawai Konsul di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah, Hijaz Ramli bagi mendapatkan bantuan.
“Semua pelajar berkenaan telah ditempatkan di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah selama satu malam sebelum dipindahkan ke hotel berhampiran selama dua hari sementara menunggu proses penghantaran pulang ke Jordan,” katanya menerusi kenyataan.
Jelasnya, semua pelajar itu dijadualkan bergerak pulang melalui jalan darat menggunakan bas pada 3 Mac jam 10.30 pagi waktu Jeddah bersamaan 3.30 petang waktu Malaysia.
“Perjalanan dijangka mengambil masa kira-kira 24 jam untuk tiba ke destinasi,” katanya lagi.
Amirudin mebambah, tujuh pelajar Selangor berkenaan akan dihantar bersama-sama 12 lagi pelajar Malaysia di Jordan yang turut berdepan masalah yang sama.
Sehubungan itu, Amirudin merakamkan penghargaan kepada Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah atas bantuan mobilisasi dan perlindungan diberikan kepada semua pelajar terlibat.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Selangor akan terus memantau perkembangan konflik di Timur Tengah (Asia Barat) bagi memastikan kebajikan dan keselamatan anak Selangor di rantau berkenaan sentiasa terpelihara.- MalaysiaGazette
















