KUANTAN – Padah membuang puntung rokok merata-rata, dua lelaki masing-masing didenda RM400 dan diperintah menjalani khidmat masyarakat selama dua jam oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Keputusan itu dibuat Hakim Sazlina Safie selepas kedua-dua mereka iaitu Azizul Asraf Shafar, 31 yang bekerja sebagai Mandur Ladang dan Jasni A Karim, 49 yang bekerja sebagai pengawal keselamatan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.
Hakim turut memerintahkan hukuman penjara selama 10 hari jika mereka gagal membayar denda dan perlu menyelesaikan perintah khidmat masyarakat itu dalam tempoh tiga bulan.
Menurut kertas pertuduhan, Azizul Asraf Shafar selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa membuang sisa pelejal iaitu puntung rokok di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukannya pada 14 Januari 2026 kira-kira jam 10.34 pagi di kawasan parkir awam Pasar Tani Rabu, Bandar Muadzam Shah, Rompin.
Manakala, Jasni pula didakwa melakukan kesalahan itu pada 11 Januari 2026 kira-kira jam 2.10 petang di kawasan awam atau jalan awam di Pantai Hiburan, Rompin.
Bagi kesalahan itu kedua-dua OKS didakwa mengikut Seksyen 77A (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum di bawah Sseksyen 77A (2) dan Seksyen 77B (1) Akta sama.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Diana Adawiyah Md Din dan Muhammad Syarihul Mohd Dzahir manakala OKS tidak diwakili peguam.
Azizul Asraf sebelum itu merayu agar denda minimum dikenakan terhadapnya kerana perlu menanggung seorang anak berusia dua tahun yang menghidap autism, selain isteri yang sedang hamil lima bulan dengan pendapatan sebanyak RM1,800 sebulan.
Sementara itu, Jasni, seorang duda pula memberitahu dia tinggal di Kluang, Johor dan mengunjungi Pantai Hiburan, Rompin untuk membawa anaknya bersia-siar pada hari kejadian.
Dia turut merayu agar hukuman denda minima dikenakan kerana menanggung seorang anak berusia 22 tahun yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) dan seorang anak berusia 13 tahun dengan pendapatan bulanan RM2,000 sebulan.
Kedua-dua kes merupakan pendakwaan pertama di daerah Kuantan di bawah Akta 672. – MalaysiaGazette
















