KUALA LUMPUR – “Jangan sia-siakan Ramadan,” pesan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam, Mu’izzuddeen Mahyuddin sambil menggesa golongan muda menggandakan amalan sementara masih bertenaga.
Beliau menyifatkan usia muda sebagai aset emas kerana memiliki kekuatan fizikal dan seharusnya disalurkan untuk menggandakan ibadah.
“Saya ingin mengajak semua anak muda, Gen Z untuk sama-sama menggandakan amalam kita pada bulan Ramadan ini.
“Sayang sangat kalau kita hanya buat lapan rakaat. Dulu saya pun begitu, tetapi sekarang saya cuba gandakan jadi 20 rakaat.
“Di mana-mana masjid atau surau yang mendirikan 20 rakaat, saya akan cuba ikut dan istiqamah,” katanya menerusi program YB, Iftar Apa Tu? yang mengikut jadual berbuka puasa Mu’izzuddeen sepanjang hari itu.
Mu’izzuddeen berkata, selain ibadah malam, beliau turut menekankan kepentingan tadarus al-Quran.
“Biarpun dihimpit kekangan waktu dan tugasan rasmi, saya cuba satu hari satu juzuk sebagai disiplin rohani sepanjang bulan mulia ini.
“Tapi, ada masa terpaksa bergelut dengan waktu, tapi usaha untuk menghabiskan satu juzuk sehari adalah satu bentuk jihad kecil dalam memastikan al-Quran tidak ditinggalkan,” katanya lagi.

Katanya lagi, peluang untuk beramal secara maksimum itu harus direbut ketika tubuh badan masih kuat dan bertenaga.
“Bulan Ramadan inilah waktu untuk kita tingkatkan amal kerana bulan-bulan lain belum tentu lagi.
“Khusus buat orang muda, gunalah kekuatan yang Allah SWT beri di usia muda ini untuk buat semua benda (kebaikan).
“Dah tua nanti, tak tahu lagi bagaimana keadaan diri kita,” ujarnya.

Katanya lagi, Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi merupakan medan latihan terbaik bagi anak muda untuk membina karakter dan memperkukuh benteng kerohanian dalam menempuh cabaran dunia yang kian mencabar.
Terdahulu Mu’izzuddeen ditemui pada sesi kunjungan di Bazaar Ramadan Sg Tengi sebelum berbuka puasa bersama Kelab Motosikal Apachee Sereng di D’Famous Zul Mee Kari.- MalaysiaGazette















