KUANTAN – Kumpulan Batin dan masyarakat Orang Asli Negeri Pahang memohon Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempertimbang untuk membetulkan kenyataan yang menafikan kewujudan tanah adat orang asli di negeri ini.
Mereka menegaskan, tanah yang didiami oleh masyarakat orang asli di Pahang bukan tanah kosong mahupun tanah baharu diduduki dan diusahakan serta bukan tanah tuntutan baharu.
“Bagi kami, tanah tersebut adalah tanah adat yang kami warisi dari nenek moyang kami, dan tanah kehidupan kami.
“Hubungan kami dengan tanah kami bukan untuk kepentingan ekonomi semata-mata, tetapi juga hubungan budaya, spiritual dan identiti yang telah terbina jauh sebelum sistem pentadbiran moden diperkenalkan.
“Kewujudan tanah adat adalah fakta sejarah dan realiti kehidupan komuniti kami. Ia tidak bermula dengan pewartaan, dan ia juga tidak terhapus hanya kerana ketiadaan warta,” katanya menerusi Kenyataan Bersama Batin-Batin, Organisasi Masyarakat l Sivil (CSO) dan Masyarakat Orang Asli Pahang.
Kenyataan itu sebagai respons kenyataan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sebelum ini bertitah bahawa tanah adat tidak wujud di Pahang.
Selain itu, kumpulan itu juga mengakui kenyataan tersebut telah mengguris hati mereka, namun percaya kekeliruan berhubung istilah “tanah adat” mungkin berpunca daripada kegagalan untuk mengiktiraf proses pemetaan tanah dan wilayah adat yang telah dibangunkan berdasarkan pengetahuan komuniti, sempadan tradisi serta sejarah pendudukan turun-temurun.
“Kami percaya kenyataan terdahulu mungkin dibuat tanpa mengambil kira sepenuhnya sejarah pendudukan komuniti serta prinsip undang-undang yang telah diiktiraf oleh mahkamah.
“Oleh itu, kami berharap agar ruang dialog dapat dibuka supaya penjelasan dapat diberikan secara terus, profesional dan berfakta.
“Kami yakin dengan penjelasan yang menyeluruh, komitmen Tuanku terhadap kebajikan orang Aasli dapat diterjemahkan secara lebih tuntas, termasuk dalam aspek pengiktirafan dan perlindungan tanah dan wilayah adat orang asli selaras dengan prinsip keadilan dan kelestarian,” katanya lagi.
Kumpulan itu turut memohon perkenan Al-Sultan Abdullah menitahkan wakil masyarakat orang asli terdiri daripada Batin-Batin, CSO, serta peguam dan pakar undang-undang hak tanah orang asli untuk sesi penjelasan mengenai kedudukan tanah adat dalam sistem perundangan Malaysia.
Sesi itu katanya, membolehkan baginda mendapatkan penjelasan berasaskan fakta sejarah, adat dan undang-undang, sekali gus memperjelas sebarang kekeliruan dan membantu pentadbiran negeri membuat keputusan yang selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa. – MalaysiaGazette
















