KUALA LUMPUR – Rakyat boleh menilai sendiri sikap buruk lima Ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipecat tetapi masih bergayut dengan jawatan yang bukan hak mereka.
Malah mereka juga akan dinilai kerana melanggar baiah dan sumpah yang mereka sendiri yang dibuat atas nama Allah.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengingatkan, jawatan ketua pembangkang bukan jawatan individu bebas, sebaliknya, ia jawatan daripada pengiktirafan blok parti terbesar dalam pembangkang.
Beliau mengulas surat daripada lima Ahli Parlimen Bersatu yang pecat kepada Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Surat yang ditandatangani Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Ahli Parlimen Mahkota); Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor); Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal (Machang); Azhari Hassan (Padang Rengas ) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik), menyokong Perikatan Nasional membuat ketetapan mengekalkan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang Parlimen.
Dalam surat berkenaan mereka mengakui menjadi ahli Parlimen bebas.

“Bagus, akhirnya lima Ahli Parlimen dipecat mengakui status mereka sebagai Ahli Parlimen tidak berparti atau bebas. Secara tidak langsung mengakui mereka tidak lagi mewakili parti atau PN.
“Surat Ronald Kiandee dan 12 lagi Ahli Parlimen Bersatu juga turut mengesahkan perbezaan antara kedua kumpulan ini, iaitu satu kumpulan masih Ahli Parlimen Bersatu dan satu lagi adalah kumpulan Ahli Parlimen bebas,” katanya.
Justeru, Tun Faisal berkata, selaku ahli Parlimen bebas, mereka tidak mempunyai locus standi untuk bertindak atau membuat ketetapan bagi pihak PN.
Sokongan mereka kepada mana-mana individu hanya merupakan pendirian politik peribadi, atas kapasiti Ahli Parlimen bebas dan bukan pendirian blok pembangkang.
Oleh kerana Majlis Presiden dan Majlis Tertinggi PN telah membuat keputusan jawatan Ketua Pembangkang telah dikosongkan; dan calon baharu hendaklah dinamakan daripada Pas, maka, keputusan ini adalah keputusan dasar dan keputusan kolektif tertinggi gabungan dan mengikat semua parti komponen.
Sebarang cubaan untuk menafikan keputusan tersebut adalah bertentangan dengan disiplin gabungan dan prinsip tadbir urus blok pembangkang, tegas beliau.
Jelasnya lagi, jawatan Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Ketua Whip Bersatu diperoleh kerana beliau adalah ahli Parlimen parti ini atas ihsan Presiden Bersatu.
Oleh itu, beliau dan 12 lagi Ahli Parlimen Bersatu terikat dengan Perkara 10.4, Perlembagaan Bersatu.
“Mana-mana Ahli Bersatu yang merupakan wakil rakyat di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri yang melakukan ketidakpatuhan terhadap arahan Majlis Pimpinan Tertinggi adalah disifatkan sebagai terhenti keahliannya secara serta-merta,” ujar beliau.
Ini bermaksud kegagalan mematuhi keputusan rasmi parti boleh menyebabkan keahlian terhenti secara automatik.
Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan (Anti-Lompat Parti) pula menjelaskan: “Jika seorang Ahli Dewan Rakyat perlu melepaskan keanggotaan parti; atau tidak lagi menjadi anggota parti tersebut”.
Maka kerusinya boleh menjadi kosong tertakluk kepada peruntukan Perkara 49A, jelas beliau lagi.
Tun Faisal mengingatkan, bagi Ahli Parlimen Bersatu beragama Islam, termasuk yang dipecat, mereka juga tertakluk kepada lafaz sumpah dan baiah yang mereka lafazkan yang menuntut mereka patuh kepada parti, taat kepada Perlembagaan parti dan dasar perjuangan.
Selain itu, patuh kepada arahan parti selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan mereka juga wajib letak jawatan jika keluar atau dipecat.
“Mereka juga wajib meletakkan jawatan sebagai ADUN / Ahli Dewan Rakyat / Ahli Dewan Negara jika keluar atau dipecat daripada parti.
“Apabila keluar atau dipecat, wajib membayar penalti RM10 juta kepada parti dengan serta-merta,” tambahnya. – MalaysiaGazette















