Ops Bongkar memeriksa 45 kontena di Pelabuhan Klang.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 40 daripada 45 buah kontena yang diperiksa dalam Ops Bongkar di Pelabuhan Klang didapati mengandungi buangan terjadual.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor yang mengetuai operasi tersebut berkata, 22 daripadanya adalah e-waste (SW 110), empat kontena mengandungi buangan bateri terpakai (SW 102) dan  empat lagi buangan wayar terpakai (SW 422).

Manakala satu kontena mengandungi buangan bateri solar panel (SW 103) dan sembilan kontena mengandungi campuran buangan terjadual yang lain.

Susulan itu, tindakan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan Seksyen 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan dikeluarkan bagi mengarahkan pihak konsaini untuk menghantar pulang kontena yang mengandungi buangan terjadual tersebut ke negara asal.

“Pemulangan kontena ini adalah amaran tegas bahawa Malaysia tidak membenarkan sebarang pengimportan buangan berbahaya merentasi sempadan selaras dengan komitmen negara di bawah Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi ini melibatkan kerjasama daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia dan Lembaga Pelabuhan Klang.

Orang ramai diingatkan sebarang pengimportan buangan terjadual tanpa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Alam Sekeliling adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, sabit kesalahan akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun penjara dan denda tidak kurang daripada RM 100,000.00 dan tidak melebihi RM10 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast