Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu beramah-mesra bersama peniaga pada Sesi Libat Urus Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran Sempena Ramadan 2026 di Bazar Ramadan Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 4 MAC 2026.

SEPANG – Trend sisa makanan yang dilupuskan pada bulan Ramadan mencatat penurunan konsisten setiap tahun, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu.

Menurut beliau, data Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) merekodkan sisa makanan sepanjang bulan Ramadan berkurang daripada 40.97 peratus pada 2024, berbanding 44.5 peratus tahun sebelumnya.

Tahun ini pula, menurutnya, sisa makanan yang dilupuskan dijangka semakin berkurang kepada 39.62 peratus, sekali gus membuktikan Kempen Hargai Makanan SWCorp semakin menunjukkan hasil positif.

“Sepanjang 13 hari ini (sepanjang Ramadan kali ini), pengutipan sisa makanan semakin menurun.

“Sebab itu program ini kita usahakan bersungguh-sungguh di bulan Ramadan bagi memastikan tiada pembaziran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Libat Urus Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran Sempena Ramadan 2026 di Bazar Ramadan Taman Putra Perdana di sini, hari ini.

Tambah Aiman Athirah, kempen tersebut akan diperluas di kira-kira 300 bazar Ramadan seluruh negara pada bulan ini untuk memperhebatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Ramadan ini sepatutnya kita perlu menghargai makanan sebab kita menahan lapar dan dahaga, jadi pembaziran tidak sepatutnya berlaku.

“Jadi, saya harap kempen-kempen yang diadakan SWCorp akan memberikan kesedaran kepada sama ada peniaga, pembeli dan semua masyarakat supaya pembaziran makanan tidak berlaku,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan program libat urus tahun ini memberi penekanan kepada pendidikan dan advokasi kepada peniaga agar merancang kuantiti penyediaan juadah secara berhemah, selain menggalakkan pengunjung membuat pembelian berdasarkan keperluan sebenar.

Sementara itu, Aiman Athirah pada program tersebut turut mengedarkan bahan kempen kepada peniaga dan pengunjung sebagai simbol komitmen bersama dalam menjayakan agenda mengurangkan pembaziran makanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast