SEPANG – Buat julung kalinya, Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) melaksanakan inisiatif Free Market Baju Raya (Baju Raya Percuma) bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Ketua Pegawai Eksekutif CEO SWCorp, Khalid Mohamed berkata, sebagai permulaan, inisiatif tersebut dilaksanakan di Bazar Ramadan Taman Putra Perdana di sini, yang mana masyarakat setempat boleh mendapatkan baju Melayu dan baju kurung terpakai secara percuma di gerai perbadanan berkenaan.
Jelasnya, baju-baju yang diletakkan di gerai SWCorp di bazar berkenaan merupakan hasil sumbangan orang ramai.
“Kami bekerjasama dengan pelbagai pihak dan berjaya mengumpulkan sebanyak lima tan baju raya untuk diedarkan kepada mereka yang memerlukan.
“Free Market Baju Raya ini mendapat sambutan sebab semua pakaian yang kita terima dalam kedaan baik, daripada disimpan tidak dipakai, lebih elok disedekah kepada yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika pada Program Libat Urus Kempen Hargai Makanan, Elak Pembaziran Sempena Ramadan 2026 di Bazar Ramadan Taman Putra Perdana, hari ini.
Menurutnya, SWCorp bersedia untuk memperluaskan inisiatif tersebut ke negeri-negeri lain pada masa akan datang secara berperingkat.

“Kami mohon kerjasama daripada masyarakat agar dapat menyumbangkan pakaian yang masih elok kepada kami untuk dietakkan di gerai kami di sini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















