Ketua Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Angkatan Aeroangkasa Iran, Brigedier Jeneral Majid Mousavi

TEHRAN – Panglima tertinggi Angkatan Aeroangkasa Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran memberi jaminan kepada rakyat negara itu bahawa pasukannya akan mempertahankan tanah air dengan sepenuh hati, lapor Mehr News Agency (MNA).

“Bangsa Republik Islam Iran yang gagah berani dan bangga, negara tercinta kita, kini berada pada detik kritikal dalam perjalanan sejarah dan tamadunnya,” kata Brigedier Jeneral Majid Mousavi dalam satu mesej pada Selasa.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian Pemimpin Revolusi Islam Ayatollah Seyyed Ali Khamenei, sambil menegaskan bahawa pasukannya akan “mempertahankan maruah Islam, tanah air tercinta dan bangsa yang mulia serta terhormat dengan mengorbankan nyawa kami”.

Mousavi juga menyeru rakyat agar mengekalkan perpaduan, bersabar dan terus berada di barisan hadapan bagi mempertahankan cita-cita Revolusi Islam.

Angkatan tentera Iran melancarkan serangan udara terhadap sasaran Israel di wilayah yang diduduki serta pangkalan Amerika Syarikat (AS) di seluruh rantau itu sebagai tindak balas terhadap serangan AS-Israel terhadap negara itu yang bermula pada pagi Sabtu. – BERNAMA-MNA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast