KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membayar kos RM10,000 kepada lima ahli Parlimen selepas parti itu menarik balik saman terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Perintah itu dibuat Hakim Mahazan Mat Taib selepas Bersatu memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan undang-undang yang mencabar keputusan Johari berhubung status lima kerusi Parlimen bekas wakil rakyat parti berkenaan.
Peguam, Chetan Jethwani yang mewakili parti Bersatu memaklumkan kepada mahkamah saman tersebut ditarik balik susulan perkembangan terkini di Mahkamah Persekutuan.
Untuk makluman, sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kebenaran merayu Bersatu dalam satu kes berasingan yang turut mencabar keputusan Johari berhubung empat kerusi Parlimen di Sabah.
Dalam prosiding hari ini, peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin yang mewakili lima Ahli Parlimen terbabit memohon mahkamah menetapkan kos sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun, Peguam Persekutuan, Zulkefli Sulaiman yang mewakili Johari memaklumkan pihaknya tidak menuntut sebarang kos.
Saman berkenaan difailkan pada 15 November 2024 oleh Setiausaha Eksekutif Bersatu, Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Dalam tindakan tersebut, Bersatu mencabar keputusan Johari yang melalui surat bertarikh 9 Julai memutuskan tiada kekosongan luar jangka bagi lima kerusi Parlimen terbabit.
Lima ahli Parlimen yang dinamakan sebagai defendan ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Zahari Kechik (Jeli); Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Bersatu memohon mahkamah isytiharkan keputusan itu melanggar Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan serta memohon perintah supaya kerusi berkenaan dikosongkan dan dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pada 9 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan isu tersebut melibatkan kuasa perlembagaan Speaker Dewan Rakyat yang tidak boleh diputuskan oleh mahkamah.
Mahkamah turut menyatakan bahawa kuasa Speaker di bawah Perkara 49A bukan sekadar bersifat pentadbiran, sebaliknya melibatkan pertimbangan perlembagaan. – MalaysiaGazette
















