Hassan Abdul Karim menyerahkan bakul makanan kepada wakil guru selepas menyampaikan bakul makanan di Sekolah Agama Taman Cendana, Pasir Gudang, Johor hari ini.

PASIR GUDANG – Kegagalan mendapat undian dua pertiga berhubung cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun di Parlimen Isnin lalu, tidak bermakna Datuk Seri Anwar Ibrahim kini hilang keabsahan sebagai Perdana Menteri.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, ia juga tidak bermaksud Kerajaan Madani kini berada dalam keadaan rapuh seperti persepsi yang cuba dibina pihak tertentu.

“Ini tidak betul (Anwar hilang mandat sebagai Perdana Menteri kerana sudah tiada sokongan dua pertiga). Tidak timbul isu keabsahan kerana Perdana Menteri masih mempunyai sokongan Ahli Parlimen.

“(Tentukan) keabsahan Perdana Menteri adalah 112 undi sahaja tetapi undian tersebut pada Isnin lalu mendapat 146 undi, jauh melebihi majoriti mudah.

“Semasa undian di Parlimen sokongan diberi menyaksikan 146 Ahli Parlimen bersetuju, lapan tidak hadir dan 44 lagi tidak mengundi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bakul makanan di Sekolah Agama Taman Cendana, di sini hari ini.

Seramai 27 keluarga menerima bantuan tersebut terdiri daripada keluarga B40 dan anak yatim sempena Ramadan.

Isnin lalu, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

Pindaan Perlembagaan berkenaan memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga iaitu 148 Ahli Parlimen untuk diluluskan.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, semua komponen parti Kerajaan Perpaduan sama ada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Rakyat Sabah atau Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengundi pindaan RUU itu.

Jelas beliau, hanya 44 Ahli Parlimen daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) mengambil sikap berkecuali.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, secara keseluruhan hampir 800 bakul makanan dengan setiap satu bernilai RM65 disumbangkan kepada keluarga dan pihak yang memerlukan di daerah ini.

Selain itu, Hassan turut meninjau perkembangan dewan di sekolah agama tersebut yang sedang dinaik taraf dengan kos keseluruhan RM68,000.

Beliau memberitahu, pihaknya menyalurkan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk proses tersebut yang dimulakan kira-kira dua bulan lalu dan dijadualkan siap dalam masa terdekat.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast