Namewee

KUALA LUMPUR –  Penyanyi dan komposer kontroversi, Wee Meng Chee atau Namewee akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara bagi meneliti semula dua pertuduhan yang dihadapinya berkaitan pemilikan dadah dan ubat jenis sildenafil.

Peguam mewakili tertuduh, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor berkata ketika sebutan kes di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak pembelaan memerlukan sedikit masa untuk menyediakan representasi berkenaan sebelum menyerahkannya kepada pihak pendakwaan bagi dipertimbangkan.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 April depan bagi membolehkan pihak pendakwaan memaklumkan perkembangan berhubung representasi yang akan dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Sebelum ini, Namewee, 43, didakwa memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 1.57 gram di sebuah bilik hotel di Jalan Conlay, di sini kira-kira pukul 4.30 petang pada 22 Oktober tahun lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dalam masa sama, Namewee turut berdepan satu lagi pertuduhan memiliki bahan jenis sildenafil seberat 0.78 gram di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada Disember tahun lalu, mahkamah turut melepas dan membebaskan Namewee daripada satu lagi pertuduhan berkaitan pengambilan dadah.

Ini selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan tersebut susulan laporan ujian patologi yang menunjukkan keputusan negatif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast