mahkamah seremban
Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan.

KUALA LUMPUR – Seorang pelakon wanita bersama suaminya direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan urusan penjualan tanah kurnia kerajaan Selangor yang menyebabkan seorang pesara kerugian kira-kira RM1.5 juta.

Pasangan suami isteri berusia lingkungan 30 dan 40-an itu ditahan polis di sebuah madrasah tahfiz di Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat semalam sebelum dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan hari ini untuk mendapatkan perintah reman.

Ketua Polis Daerah Seremban, Azahar Abdul Rahim, berkata penahanan itu dibuat susulan laporan diterima berhubung kes penipuan di daerah berkenaan.

Menurutnya, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Polis juga meminta ruang siasatan yang telus dapat dijalankan dan orang awam dinasihatkan tidak mengganggu siasatan dengan mengeluarkan kenyataan di media sosial,” katanya kepada media hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa adalah seorang lelaki berusia 56 tahun yang juga pesara dan sebelum ini terlibat dalam perniagaan pembangunan hartanah.

Katanya, mangsa dipercayai ditipu rakannya sendiri dalam urusan mendapatkan tanah kurniaan kerajaan Selangor.

“Pengadu menyatakan pada 21 September 2023 dia ditawarkan oleh seorang lelaki untuk mendapatkan beberapa lot tanah di Selangor yang terletak di bawah Mukim Cheras yang dijanjikan berstatus tanah kurniaan kerajaan negeri.

“Pengadu kemudian mula berurusan dengan suspek dan membuat beberapa transaksi pembayaran,” katanya.

Menurut Azahar, suspek dipercayai menggunakan akaun bank bapanya serta akaun bank isterinya bagi menerima bayaran transaksi berkaitan proses mendapatkan lot tanah berkenaan, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM1.5 juta. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast