Tertuduh pemandu lori, T Gajehndranath, 33, dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memandu kereta dalam keadaan mabuk, Januari lalu.

MELAKA – Seorang pemandu lori dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memandu kereta dalam keadaan mabuk, Januari lalu.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhi hukuman itu terhadap T Gajehndranath, 33, selepas menerima pengakuannya sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memandu kereta dengan kadar kandungan alkohol dalam badan sebanyak 74 miligram (mg) per 100 mililiter (ml) darah iaitu lebih 24 mg daripada had ditetapkan iaitu 50 mg.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Jalan Dato Mohd Zin di sini, kira-kira pukul 11.50 malam pada 17 Januari lalu, yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2000).

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda minimum RM10,000 dan maksimum RM30,000 serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis menahan tertuduh dalam satu sekatan jalan raya selepas disyaki mabuk dan hasil ujian saringan awal menggunakan alat SD2+ mendapati bacaan alkohol dalam badannya adalah sebanyak 108mg/100ml.

Tertuduh kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk ujian lanjut menggunakan alat EBA II yang merekodkan bacaan 74mg/100ml, melebihi had dibenarkan.

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh.

Bagaimanapun, Gajehndranath yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan bekerja sebagai pemandu lori dan perlu menanggung ibu bapa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara satu hari bermula hari ini dan denda RM10,000 atau penjara tujuh bulan jika gagal bayar dan tertuduh membayar denda berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast