KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengecam hala tuju Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa semakin menyimpang daripada mandat asal untuk penguatkuasaan mencegah serta melawan rasuah namun sebaliknya menjadi alat intimidasi politik.
Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, `pemburuan’ awam terbaru terhadap James Chai, seorang warganegara biasa dan bekas pegawai kepada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menandakan satu tahap baharu yang membimbangkan.
Dakwanya, SPRM telah terlibat dalam tindakan memalukan secara sengaja serta membina persepsi telah bersalah dengan menyiarkan `notis mengesan’ yang turut memaparkan alamat rumah keluarga di mana ibu bapa James Chai yang sudah lanjut usia menetap.
Katanya, ia dilakukan walaupun James Chai menegaskan beliau tidak pernah dihubungi secara langsung untuk sebarang siasatan.
“Ini bukanlah prosedur siasatan yang lazim dan wajar, dan hanya boleh disifatkan sebagai pendedahan (doxxing) institusi yang bertujuan mencemarkan reputasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, Bersih mengambil maklum dengan kebimbangan bahawa peningkatan tindak balas ini berlaku ketika ramai pihak termasuk Rafizi terus lantang memperjuangkan reformasi institusi.
Malah, Rafizi baru-baru ini turut berucap di perhimpunan #TangkapAzamBaki yang dianjurkan oleh masyarakat sivil dan aktivis mahasiswa.
Dakwanya, masa tindakan itu diambil menimbulkan persepsi wujudnya pola tindakan balas, di mana SPRM dipersenjatakan terhadap mereka yang menuntut kebertanggungjawaban institusi penguatkuasaan antikorupsi tersebut.
“Mempergunakan suruhanjaya tersebut untuk menyasarkan pegawai politik atas alasan `kepentingan negara’ sambil mengabaikan kerosakan di peringkat tertinggi suruhanjaya itu sendiri adalah satu pengkhianatan terhadap semangat reformasi,” katanya.
Dakwanya lagi, keyakinan awam terhadap SPRM telah merosot ke tahap rendah susulan pendedahan terkini oleh Bloomberg mengenai dakwaan kaitan “mafia korporat” dalam agensi tersebut serta bayangan berpanjangan berhubung pegangan saham Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.
“(Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani tidak boleh mendakwa memerangi rasuah sambil melindungi ketua penguatkuasanya daripada penelitian yang sama yang dikenakan secara terpilih terhadap pihak lain.
“Sehingga kini Kerajaan Madani tidak menunjukkan kepimpinan yang berkesan untuk menyiasat Azam melalui satu badan yang bebas daripada campur tangan Eksekutif,” katanya.
Kenyataan penuh Bersih berhubung isu tersebut boleh dirujuk di laman rasmi Facebook organisasi berkenaan. – MalaysiaGazette
















