KLUANG – Polis menahan seorang lelaki kerana bogel di tempat awam di Jalan Mengkibol di sini kelmarin selepas video perbuatannya tular dalam media sosial.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki tempatan berkenaan yang berusia 50 tahun itu diberkas di Taman Sunrise Park di sini pada pukul 4 petang semalam.
“Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 7 malam sebelum satu video mengenai perbuatannya tersebar dalam media sosial dan mencetuskan kebimbangan orang awam.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Kluang membuat tangkapan ke atasnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin, hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, manakala saringan ujian air kencing didapati negatif.
“Pihak polis masih menyiasat apa sebabnya suspek melakukan perbuatan tersebut,” tambah beliau.
Kes disiasat bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Bahrin memberitahu, permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Sehubungan itu, polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian agar menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Mereka boleh juga menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang 07-7784222, talian terus 07-7784256, hotline 07-7766822 atau Tablet DCC 014-3656822.- MalaysiaGazette
















