KUALA LUMPUR – Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM3 juta daripada syarikat korporat Pintas Utama Sdn Bhd, sekali gus mencerminkan komitmen syarikat terhadap tanggungjawab sosial dan pembangunan umat Islam di Selangor.
Majlis bersejarah itu berlangsung di Masjid Raja Haji Fisabilillah, Cyberjaya, sempena Majlis Berbuka Puasa Raja Muda Selangor Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya 1447H, semalam.
Penyerahan zakat disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Pintas Utama, Tan Sri Zainudin Karjan.
Dalam kenyataannya, Zainudin menekankan bahawa kejayaan syarikat bukan semata-mata hasil perancangan strategik, tetapi juga amanah yang perlu dikongsi dengan mereka yang memerlukan.
“Sebagai umat Islam, haruslah percaya bahawa dalam setiap rezeki yang dikurniakan, terdapat hak mereka yang memerlukan.
“Pembayaran zakat ini bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah tanggungjawab sosial korporat untuk memperkukuh kesejahteraan masyarakat dan menyumbang kepada pembangunan ummah secara menyeluruh,” katanya.
Pintas Utama menegaskan akan terus memperluas inisiatif kebajikan sebagai sebahagian usaha berterusan syarikat untuk memberi impak positif kepada masyarakat, terutama golongan asnaf.
Zakat yang diserahkan akan disalurkan melalui institusi zakat Selangor, merangkumi aspek kebajikan, pendidikan, kesihatan, dan pembangunan ekonomi, sejajar usaha memperkasa kehidupan umat Islam secara mampan.
Selain menerima zakat, Tengku Amir Shah turut berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada golongan asnaf dan menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah bersama rakyat, menambah kehangatan suasana Ramadan di Cyberjaya.
Langkah Pintas Utama ini dilihat bukan sekadar amal jariah, tetapi juga sebagai contoh syarikat korporat yang mengambil serius tanggungjawab sosial dalam pembangunan masyarakat Islam. – MalaysiaGazette
















