MELAKA – Kehadiran Ramadan dan sambutan Aidilfitri dijangka terus meningkatkan penyertaan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Program Repatriasi Migran 2.0 apabila setakat ini, program pengampunan itu telah menjana kutipan kompaun sebanyak RM94 juta.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kebiasaannya dalam tempoh Ramadan hingga menjelang Aidilfitri, lebih ramai warga asing mengambil peluang untuk pulang ke negara asal secara sah.
“Sejak 19 Mei 2025 hingga 3 Mac lalu, seramai 187,858 warga asing daripada 106 negara telah menyertai program ini dan kita telah mengutip RM94 juta hasil bayaran kompaun melaluinya.
“Kalau ikut prosedur biasa, kesalahan ini boleh membawa kepada penahanan dan hukuman penjara. Tetapi melalui program ini, mereka hanya perlu membayar kompaun RM500 dan dibenarkan pulang tanpa tindakan pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penerapan Nilai-Nilai & Majlis Iftar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Kompleks KDN, Ayer Keroh, hari ini.
Menurut beliau, program itu memberi peluang kepada warga asing yang tinggal lebih masa atau tidak memiliki dokumen sah untuk tampil secara sukarela tanpa melalui proses pendakwaan atau penahanan.
Saifuddin berkata, tahun lalu sahaja kutipan kompaun melalui program sama mencecah RM65 juta hasil penyertaan warga asing yang memilih untuk pulang secara teratur.
“Antara kesalahan utama yang diselesaikan menerusi program itu ialah tinggal lebih masa di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan sah di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama.
“Ia membabitkan pelbagai warganegara, dengan antara yang tertinggi terdiri daripada Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Thailand,” katanya.
Beliau menjangkakan jumlah penyertaan akan terus meningkat terutama pada pertengahan dan penghujung Ramadan susulan permintaan tinggi untuk pulang menyambut Syawal bersama keluarga di negara masing-masing.
Program Repatriasi Migran 2.0 dijadualkan berakhir pada 30 April ini. – MalaysiaGazette
















