PUTRAJAYA – Usaha membudayakan ilmu perlu terus diperkukuh dalam masyarakat kerana ia merupakan asas penting dalam membentuk negara berpengetahuan, khususnya dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi yang dianggap sebagai “otak negara”.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, tradisi ilmu tidak boleh dipandang ringan kerana ia memainkan peranan besar dalam kehidupan seharian serta pembangunan negara.
Menurutnya, kementerian yang bertanggungjawab terhadap sektor pengajian tinggi memikul amanah besar untuk memastikan penyebaran ilmu berlaku secara berterusan dalam kalangan masyarakat.
“Bayangkan jika negara seperti kita tidak dapat melaksanakan agenda ilmu bagi membentuk budaya pengetahuan, maka sukar untuk kita melahirkan masyarakat yang benar-benar menghargai ilmu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan dan majlis berbuka puasa bersama warga kementerian itu di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, usaha memupuk budaya ilmu bukan sesuatu yang mudah kerana melibatkan perubahan sikap masyarakat terhadap pembelajaran termasuk menggalakkan minat membaca serta perbincangan mengenai buku.
Tambah beliau, pelbagai program telah dilaksanakan bagi menyokong agenda tersebut, termasuk inisiatif yang bertujuan memperkukuh tradisi keilmuan dalam kalangan masyarakat.
Pada masa sama, ujarnya, pendekatan dakwah dan penyampaian ilmu juga perlu dilakukan secara sederhana, jelas dan mudah difahami supaya mesej yang disampaikan dapat diterima oleh semua lapisan masyarakat.
Beliau menambah, usaha membina budaya ilmu boleh diibaratkan seperti ibadah puasa yang pada awalnya mungkin sukar dilakukan, namun akan menjadi kebiasaan apabila diamalkan secara berterusan.
“Seperti anak-anak kecil yang mula belajar berpuasa, pada awalnya mungkin sukar tetapi lama-kelamaan ia menjadi perkara biasa. Begitu juga dengan budaya ilmu yang perlu dipupuk sehingga menjadi amalan dalam masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette
















